Published in Utusan Borneo
(26 November 2014)
Dikelilingi 1,780 pulau-pulau kecil yang cantik, Palawan,
Filipina mempunyai daya tarikan tersendiri yang pastinya mampu menarik
pelancong berkunjung ke situ.
Memiliki destinasi eko-pelancongan yang diiktiraf Unesco
sebagai salah satu daripada tujuh keajaiban dunia membuatkan Palawan semakin
hari semakin menjadi pilihan pelancong tidak kira dari negara jiran mahupun
negara Asia dan Eropah yang lain.
Kedudukan Sabah yang terletak bersebelahan dengan Palawan
memudahkan lagi jalinan kerjasama dilakukan di antara kedua-dua wilayah ini.
Langkah Star Cruises memperkenalkan laluan Kota
Kinabalu-Puerto Princesa, Palawan adalah tindakan yang amat tepat dalam
membantu mempromosikan destinasi pelancongan yang terdapat di kepulauan yang
terletak di kawasan Barat Selatan Filipina ini.
Pemilihan Bandar Puerto Princesa, Palawan sebagai
destinasi terbaru Star Cruises dilihat mampu membantu meningkatkan lagi
industri pelancongan di bandar itu.
Dengan adanya tempat-tempat menarik seperti Taman Negara
Sungai Subraterranean Puerto Princesa (PPSRNP) yang mendapat pengiktirafan
Tapak Warisan Dunia Unesco pada 2011, pelayaran Star Cruises ke Bandar Puerto
Princesa dijangka akan mendapat maklum balas yang memberangsangkan daripada
penduduk Sabah serta pelancong asing.
Sebagai salah satu daripada tujuh keajaiban dunia, taman
itu memiliki sumber alam semulajadi yang cantik dan menarik seperti hutan
simpan, pantai pasir putih, pelbagai spesis hidupan liar yang terancam, gua
serta sungai bawah tanah terpanjang di Lautan China Selatan.
Menaiki bot menelusuri sungai bawah tanah sepanjang 8.2
km itu pasti memberi pengalaman menarik buat sesiapa sahaja yang berkunjung ke
situ.
Hanya 15 minit menaiki bot dari Pantai Sabang, pelancong
sudah boleh menyaksikan keunikan yang terdapat dalam sungai bawah tanah yang
kedalamannya sehingga sembilan meter????
Gabenor
Palawan Jose Chavez Alvarez dipetik dalam ucapan yang disampaikan Naib Gabenor
Palawan Victorino Dennis M. Socrates berkata, beliau amat gembira dengan
kehadiran Star Cruises yang menjadikan Puerto Prinesa sebagai destinasi yang
dituju.
Katanya, usaha
yang dilakukan itu pasti mampu mengukuhkan lagi hubungan antara Sabah dan Pulau
Palawan.
Beliau percaya
usaha untuk menarik lebih ramai pelancong ke Palawan akan dapat
direalisasikan dengan langkah Star Cruises menjadikan Puerto Princesa sebagai
destinasi pelayaran terbaru mereka.
Hubungan kerjasama antara Sabah dan Palawan sudah lama
terjalin kerana sebelum Star Cruises menjadikan Puerto Princesa sebagai
destinasi pelayaran, anak Syarikat Penerbangan Malaysia iaitu MASWings juga
pernah menjadikan Puerto Princesa sebagai laluan mereka.
Namun, atas sebab-sebab komersil, penerbangan MASWings
dari Kota Kinbalu-Puerto Princesa diberhentikan perkhidmatan pada 31 Ogos lalu.
William Hiew, 57, yang berasal dari Kota Kinabalu
berkata, menyertai Program Inaugural Star Cruises SuperStar Aquarius Kota
Kinabalu-Puerto Princesa membuka mata beliau bagaimana industri pelancongan di
Palawan dipromosikan.
Katanya, beliau amat kagum melihat bagaimana Jabatan
Pelancongan Palawan dan orang-orang dalam industri pelancongan di situ
menyediakan kemudahan bagi menyambut kedatangan pelancong yang menaiki Star
Cruises ke pulau itu.
Uniknya mengenai Pantai Sabang dan PPSRNP, tempat itu
amat mementingkan konservasi dan pengunjung yang datang tidak dibenarkan
membuang sampah di merata-rata tempat. Sekiranya didapati membuang sampah,
denda akan dikenakan kepada mana-mana pihak yang gagal mematuhi peraturan
ditetapkan.
Beliau berkata, persembahan tarian kebudayaan yang
dipersembahkan sempena acara sambutan ketibaan Star Cruises itu mencerminkan
kepelbagaian budaya yang terdapat di situ.
Turut berkongsi pendapat yang serupa adalah abangnya,
Vincent Hiew, 64, yang menyatakan kekagumannya melihat bagaimana orang dalam
industri pelancongan di Palawan mempromosikan destinasi pelancongan mereka.
“Jika di Sabah, kita tidak akan melihat orang menawarkan
khidmat mengambil gambar di pulau-pulau yang menjadi tumpuan pelancong tetapi
di Puerto Princesa, mereka berlumba-lumba menawarkan khidmat fotografi.
“Itu adalah cara mereka mencari sumber kewangan tambahan.
Oleh itu, saya berharap orang-orang dalam industri pelancongan di Sabah dapat
mengambil inisiatif serupa bagi menyediakan perkhidmatan fotografi kepada
pengunjung di destinasi-destinasi pelancongan yang terdapat di Sabah,” katanya.
Vincent berkata, usaha konservasi yang dilakukan di
destinasi pelancongan yang terdapat di Palawan juga harus dijadikan sumber
inspirasi untuk industri pelancongan di Sabah.
Ia kerana beberapa pulau yang menjadi destinasi
pelancongan termasuk pulau yang terletak dalam kawasan Taman Tuanku Abdul
Rahman kini dicemari oleh sampah-sarap.
Jika penguatkuasaan dilakukan bagi memastikan kebersihan
di destinasi pelancongan dikuatkuasakan di Sabah, sudah pasti kawasan
pelancongan di negeri ini lebih indah tanpa dicemari sampah.
Selain PPSRNP yang sering menjadi sebab utama pelancong
berkunjung ke Palawan, kepulauan yang mempunyai banyak pulau-pulau kecil itu
juga memiliki pantai pasir yang cantik seperti di Honda Bay dan Ulugan Bay.
Dari pantai pasir putih Honda Bay, pelancong berpeluang
melawat pulau-pulau berhampiran melalui ‘Island Hopping Tour’ yang menyediakan
pilihan seperti Starfish Island; Pambato Reef; Arreceffi Island; Pandan Island;
Cowrie Island; Luli Island dan Bat Island.
Honda Bay menyediakan pelbagai aktiviti menarik untuk
pelancong termasuklah berkayak, snorkeling dan menyelam.
Ulugan Bay pula menawarkan eko-pelancongan yang akan
membawa pelancong menelusuri kawasan bakau di sepanjang Sungai Bahile.
Pelancong juga berpeluang belayar menggunakan ‘Paraw’
iaitu bot pelayaran khas yang digunakan di kebanyakan pulau di Filipina.
Khas untuk mereka yang suka menyelam, Palawan sememangnya
dikelilingi destinasi menyelam yang cantik dan menarik untuk diterokai.
Antara destinasi menyelam yang terdapat di Palawan adalah
Taman Negara Marin Batu Karang Tubbataha, TayTay, Pulau Coron, Busuanga dan El
Nido.
Taman Negara Marin Batu Karang Tubbataha adalah taman
yang dijadikan tempat perlindungan 46 coral genera dan 300 spesis batu karang.
Malah, ia juga menjadi tempat tinggal 400 spesis ikan.
Tubbataha dan pulau-pulau kecil disekitarnya diiktiraf
sebagai taman negara marin pada 1988 dan seterusnya diiktiraf sebagai Tapak
Warisan Dunia Unseco pada 1993.
Untuk aktiviti berkayak pula, destinasi yang sering
menjadi pilihan pengunjung untuk berkayak adalah San Vicente, El Nido, Busuanga
dan Honday Bay.
Sebagai usaha konservasi biodiversiti untuk pemuliharaan
habitat semulajadi di Filipina, beberapa kawasan pulau di negara itu terlibat
dalam Projek Bersepadu Kawasan Perlindungan Negara (National Intergrated
Protected Areas Project) dan pulau-pulau kecil di Palawan adalah antara pulau
yang dilindungi melalui projek itu.
Antara pulau yang terlibat dalam projek berkenaan adalah
Pulau Coron, El Nido dan Malampaya Sound.
Untuk Pulau Coron, 75 peratus daripada kawasan hutan yang
dilitupi batu kapur di pulau itu masih belum disentuh atau diterokai. Pulau ini
juga dilengkapi dengan Tasik Kayangan yang mendapat penganugerahan sebagai
tasik terbersih dan terhijau di Filipina.
El Nido pula adalah pulau yang diiktiraf sebagai kawasan
perlindungan marin untuk melindungi populasi kura-kura. Kemudiannya,
perlindungan itu dilebarkan daripada hanya melindungi hidupan marin kepada melindungi
hutan bakau dan kawasan tadahan air di sekitarnya.
El Nido yang terletak di utara Palawan memerlukan masa
selama 6 jam perjalanan menaiki kenderaan dari Bandar Puerto Princesa.
Malampaya Sound pula adalah antara kawasan yang mempunyai
hutan bakau terbesar di Filipina.
Bagi anda yang gemarkan sejarah dan ingin menjelajah Bandar
Puerto Princesa, bandar ini memiliki banyak tempat-tempat bersejarah yang
menarik.
Melalui lawatan di bandar atau ‘City Tour’, pengunjung
berpeluang melihat keunikan Bandar Puerto Princesa seperti Puerto Princesa
Baywalk (laluan pejalan kaki di tebing laut berhampiran pelabuhan Puerto Princesa);
Immaculate Conception Cathedral, Plaza Cuartel (tugu peringatan perang); Iwahig
Prison dan Penal Farm; Rancho Sta. Monica, Taman Rama-Rama; Taman Buaya,
Baker’s Hill Palawan; Mendoza Park, Kuyba Almoneca Meditation Garden, Muzium
Perang Dunia Kedua dan Binuatan Creations.
Bagi pencinta haiwan, mengunjungi zoo di Pulau Calauit, Busuanga
yang terletak di utara Palawan akan membuatkan pengunjung berpeluang melihat
haiwan afrika dan haiwan endemik di Filipina.
Bagaimanapun untuk mengunjungi zoo terbuka ini,
pengunjung perlu mendapatkan permit khas daripada ‘Palawan Council for
Sustainable Development Office’.
Bermula pada 1976, Pulau Calauit di Busuanga ini
dijadikan kawasan yang menjadi rumah untuk haiwan exotic dari Kenya berikutan
rayuan yang dibuat Kesatuan Antarabangsa untuk Konservasi Alam Semulajadi
(International Union for the Conservation of Nature-IUCN) supaya menyediakan
kawasan bagi menempatkan hidupan liar yang terancam di Afrika.
Jika pengunjung melawat ‘Calauit Game Preserve &
Wildlife Sanctuary’, anda akan dapat melihat haiwan seperti zirafah, kuda
belang, rusa dan banyak lagi yang berkeliaran secara terbuka kerana tiada pagar
yang dipasang di zoo berkenaan.
Kawasan perairan Calauit pula menjadi perlindungan yang
menempatkan dugong, kura-kura laut dan ‘giant clam’.
Untuk anda suka dengan aktiviti lasak seperti mendaki;
‘rock climbing’ mahupun ‘jungle trekking’, Palawan mempunyai beberapa kawasan
yang boleh dijadikan destinasi pendakian antaranya Tumarbong Falls di Quezon
yang terletak di selatan Bandar Puerto Princesa; Mount Capoas di Malampaya
Sound serta di Bulalacao Falls, El Nido.
Bagi puncak yang lebih mencabar, pendaki boleh cuba
menaiki Thumb Peak dan Mount Stavely di Central Palawan; Victoria Peak;
Anapahan Peak; Bulajao Range serta Mount Matalingahan.
Sebelum kembali ke negara masing-masing, semua pelancong
pasti ingin mendapatkan cenderamata untuk dihadiahkan kepada saudara-mara dan
rakan-rakan.
Untuk membeli barangan cenderamata, pelancong boleh
mengunjungi pusat yang menjual pelbagai jenis cenderamata yang dikenali sebagai
‘Cangih-Cangih’.
(Credit photo to David Aramiti- an official photographer for Inaugural Program SuperStar Aquarius Kota Kinabalu-Puerto Princesa Nov9-12 2014)
Starting point to Underground river..jetty in Sabang Beach |
limestone |
a boat ride-underground river Puerto Princesa |