Thursday, November 27, 2014

Cabaran Antarabangsa Borneo Safari Imbak Canyon 2014 (Part 2)

Published in Utusan Borneo 
(7 November 2014)

Kereta terkandas semalaman di sungai, detik cemas Borneo Safari 2014

“Bila kereta sudah mahu terbalik, saya hanya fikir mahu melompat ke dalam sungai. Masa itu, saya tidak lagi fikir kalau saya hanyut macam mana. Apa yang saya fikir hanya ingin selamatkan diri sebelum kereta terbalik.”

Itulah luahan kata-kata yang menggambarkan kepanikan isteri Ketua Media, Roslin Kurus semasa menceritakan situasi beliau ketika kereta Isuzu Trooper milik suaminya, Hilary Francis terkandas dalam sungai di kawasan Tongod.

Turut berada dalam kereta itu adalah Pengurus Bahagian Teknikal Isuzu Malaysia Azhar Majid yang duduk di sebelah pemandu.

Roslin atau lebih mesra dengan panggilan Lyn berkata, keadaan dalam kereta pada masa itu cukup mencemaskan terutama apabila air mula naik.

“Hanya dalam beberapa saat sahaja, air dalam kereta mula naik hingga ke paras dada. Bila melihat air mula naik, itu membuatkan saya panik dan berfikir untuk terjun ke dalam sungai,” katanya ketika ditemui sehari selepas kejadian berlaku, iaitu pada hari keempat Cabaran Antarabangsa Off Road Borneo Safari 2014 berlangsung (29 Oktober).

Katanya, beliau bernasib baik kerana tingkap di bahagian penumpang belakang sudah sedia terbuka. Itu membolehkan beliau bernafas melalui tingkap. Jika tingkap tertutup, beliau pasti sudah lemas berada dalam kereta kerana kesukaran membuka pintu yang berdepan dengan arus deras.

Mengimbau kembali detik cemas itu, Lyn yang sudah menyertai Borneo Safari (BS) kali keenam itu berkata, pada awal kereta mereka sudah berundur ke belakang setelah memeriksa kedalaman air sungai. Namun, disebabkan ada arahan menyatakan bahawa air sungai tidak dalam, mereka pun meneruskan perjalanan.

Sebenarnya sudah banyak kereta yang berjaya melepasi sungai itu sebelum Hilary atau dikenali sebagai Aleey.

Mungkin nasib tidak menyebelahi mereka, sebelum berjaya menyeberangi sungai yang jaraknya hanya 30 meter, kereta dinaiki terundur ke belakang dan enjin kereta terberhenti.

Melihat kereta mereka berada di tengah-tengah sungai dengan semua penumpang masih di dalam membuatkan penulis dan peserta lain yang menyaksikan insiden itu turut panik.

Bagaimanapun, kepantasan pasukan yang berada di seberang kiri sungai untuk memasang winch pada kereta dan disangkut pada sebatang pokok membolehkan kereta berjaya ditahan daripada dihanyutkan arus.

Apabila kereta dalam keadaan stabil, penulis melihat seorang peserta bertindak pantas menuju ke kereta terbabit untuk membantu Aleey, Lyn dan Azhar untuk memanjat naik ke bumbung kereta.

Sebaik sahaja Lyn berjaya melompat ke dalam sungai dan diselamatkan. Aleey dengan bantuan peserta lain mula memasang winch pada kereta untuk disambungkan kepada pokok dan kereta yang berada di sebelah kanan sungai. Ia bagi memastikan kereta berada dalam keadaan stabil untuk ditinggalkan semalaman dalam sungai.

Bantuan semua peserta dan ahli bomba yang memberi arahan mengenai cara menyelamat dengan menjadikan jerrycan sebagai pelampung berjaya menyelamatkan ketiga-tiga mereka dalam tempoh 30 minit.

Hujan yang mula turun menyebabkan paras air sungai naik dengan pantas hingga hampir menutup bumbung kereta.

Dua hari menyertai BS, segalanya berjalan lancar dan tenang kerana perjalanan hanya melibatkan lebuhraya. Memasuki hari ketiga, keselesaan selama dua hari itu bertukar menjadi detik yang mencemaskan. Bak kata pepatah melayu ‘Ku sangka panas sampai ke petang, rupanya hujan di tengahari’.

Cabaran selepas terkandas

Insiden yang berlaku kira-kira 4.10 petang di hari ketiga Cabaran Antarabangsa Off Road Borneo Safari 2014 itu membuatkan semua peserta termasuk Kumpulan Media yang belum menyeberangi sungai terpaksa bermalam di situ.

Setelah menemui tapak khemah yang sesuai, penulis bersama rakan media dan wakil Isuzu lain bergotong-royong mendirikan khemah. Dengan mengikat tali khemah pada kereta yang diparkir di tiga penjuru dan bantuan kayu yang diperoleh dari hutan bersebelahan, akhirnya khemah media berdiri teguh.

Khemah pada malam itu agak padat disebabkan hanya sebuah khemah sahaja yang ada. Sebanyak 15 katil kem dimuatkan dengan jarak antara satu sama lain hanya sejengkal untuk dijadikan laluan. Disebabkan tidak cukup ruang, ada wakil Isuzu terpaksa tidur dalam kereta.

Ketika terkandas di situ, kumpulan media terpaksa bergantung kepada ehsan peserta lain termasuk Pembantu Ketua Media Andre Norbert untuk memberikan makanan. Tidak terbalas kebaikan mereka terhadap penulis dan rakan-rakan lain.

Ia kerana kenderaan yang sepatutnya menyediakan makanan untuk Kumpulan Media sudah jauh dihadapan iaitu di destinasi tapak perkhemahan asal iaitu di Pusat Konservasi Imbak Kanyon (ICCC).

Terkandas dalam hutan membolehkan penulis melihat situasi sebenar BS. Tidak seteruk yang penulis bayangkan kerana kebajikan media sentiasa dijaga. Bantu-membantu antara satu sama lain sudah menjadi rutin mereka ketika berada di hutan maka, wakil media tidak mungkin dibiarkan kelaparan.

Maggie bersama nasi dan makanan dalam tin adalah hidangan utama pada malam berkenaan. Ketika itu, apa sahaja yang disuapkan ke dalam mulut terasa sedap apatah lagi semua peserta dan wakil media tidak sempat makan tengahari.

Seharian melalui laluan sukar atau hardcore dan bermandi hujan membuatkan penulis tidak merasa lapar di siang hari. Seingat penulis, hanya sebungkus roti bilis dan biskut sahaja dijadikan pengalas perut baik buat penulis mahupun rakan lain.

Tidak dilupakan keprihatinan pemandu penulis yang turut memberi maggie cawan untuk dijadikan hidangan makan malam. Makan maggie di bawah khemah dengan huja lebat memang kombinasi yang baik atau dalam bahasa pasarnya ‘paling sadap’.

Hari Terkahir: Tiada lagi laluan sukar

Memasuki jam 6 pagi, penulis bersama rakan lain menuju ke sungai untuk meninjau keadaan kereta Aleey yang berada semalaman dalam sungai.

Semakin kaki penulis melangkah menghampiri tebing sungai, suasana riuh rendah mula kedengaran. Apabila tiba di tebing sungai, kelihatan Aleey bersama peserta lain sibuk memasang winch pada kereta yang dijadikan ‘anchor’ untuk menarik keretanya.

Peserta lain berhampiran tempat penulis berdiri pula membantu bagi mengalihkan sebatang pokok besar yang berada dalam sungai bagi memastikan kereta Aleey tidak tersangkut ketika ditarik naik.

Sebaik sahaja kereta berjaya ditarik ke tebing, kebanyakan peserta termasuk penulis kembali semua ke khemah.

Pada jam 8 pagi suasana riuh-rendah dengan bunyi hon yang sambung-menyambung menandakan kereta Aleey berjaya ditarik naik. 'Syukur Alhamdulilah' bisik hati kecil penulis.

Difahamkan, kereta Aleey perlu dibaiki dalam tempoh 2 jam. Sementara menunggu kereta dibaiki, penulis bersama yang rakan lain sempat bersarapan dengan bekalan makanan yang diberikan Andre. Ada yang mula memasak maggie dan penulis pula hanya mengalas perut dengan dua keping roti gardenia yang disalut tuna.

Semua peserta mula rolling pada jam 10.40 pagi merentasi sungai. Walau sungai tidak sedalam hari sebelumnya namun, arusnya masih lagi deras. Semua kereta dinasihatkan menyeberangi sungai dengan memasang winch bagi membolehkan dua buah kereta bergerak sekaligus.

Semua pemandu diberi arahan agar bergerak dalam bentuk C bagi membolehkan kenderaan dipandu melawan arus.

Penulis merasa bersyukur, walau kenderaan penulis naiki mengalami kerosakan sejak hari kedua, tetapi ia berjaya melepasi sungai tanpa sebarang masalah. Sebelum memasuki sungai, pemandu penulis iaitu Herry Joseph atau nama panggilannya Boy D-Max sempat berpesan 'Jangan buka tingkap'.

Memikirkan kereta itu mengalami kerosakan sepanjang empat hari BS berlangsung, penulis terpaksa akur dengan arahan. Biarpun penulis menyimpan hasrat untuk merakam perjalanan dalam sungai melalui telefon bimbit tetapi keselamatan harus diutamakan.

Sementara menanti kereta Aleey diperbaiki. Penulis dan semua rakan media lain menungggu giliran untuk memasak maggie dan makanan dalam tin sebagai hidangan tengahari.

Akhirnya kira-kira jam 2.20 petang, enjin kereta Aleey berjaya dihidupkan dan perjalanan diteruskan ke Pintu Masuk Pusat Perhutanan Millian dalam kawasan Hutan Simpan Sungai Pinangah bagi bertukar kenderaan kerana beberapa wakil Isuzu dan media termasuk penulis akan pulang ke Kota Kinabalu pada hari berkenaan.

Alhamdulilah semuanya berjalan lancar. Tiada lagi kereta rosak, tiada lagi laluan sukar yang memerlukan winch untuk ditempuhi.

Seperti dihari pertama, kereta Aleey masih mengetuai Kumpulan Media. Disebabkan kereta penulis berada di bekalang kereta Aleey, sepanjang perjalanan, penulis dapat melihat titisan air daripada bawah kereta.

Kumpulan media sempat berhenti di kawasan pembalakan bagi menghubungi wakil Isuzu menggunakan telefon satelit yang dibawa oleh Presiden Persatuan Pacuan Empat Road Sabah (SFWDA) merangkap Pengerusi Penganjur Faez Nordin.

Panggilan telefon itu bagi membolehkan proses menukar tarikh penerbangan wakil media dan Isuzu yang dijadualkan pada malam itu dilakukan. Terkandas semalaman dalam hutan menyebabkan wakil media dan Isuzu yang seharusnya keluar awal tidak dapat berbuat demikian.

Selepas Azhar siap berurusan perjalanan diteruskan menuju ke Pintu Masuk Pusat Perhutanan Millian dibawah kendalian Kumpulan Yayasan Sabah.

Sebaik tiba di situ, penulis dan enam rakan lain yang bakal keluar dari ekspedisi Borneo Safari itu diperkenalkan kepada pemandu baru yang akan menghantar kami ke Kota Kinabalu.

Selesai dibahagikan mengikut kereta masing-masing, jam 5.30 petang perjalanan diteruskan menuju ke jalan utama dengan melalui kawasan ladang kelapa sawit yang jauhnya hanya 60 km.

Walau jaraknya dekat tetapi masa diambil hampir 30 minit kerana jalan yang berlubang-lubang. Sepanjang jalan kenderaan dipandu melintasi lori-lori besar yang membawa balak dan kelapa sawit.

Perjalanan sejauh kira-kira 300 km dari Pintu Masuk Pusat Perhutanan Millian, Tongod ke Kota Kinabalu diteruskan.

Walau perjalanan agak mencabar disebabkan hujan lebat yang turun dalam perjalanan dari Telupid-Ranau serta kabus tebal di kawasan Kundasang, penulis akhirnya selamat tiba di rumah pada jam 12 tengah malam.

-TAMAT-

bumbung Isuzu trooper yang hampir ditenggelami sungai
took by phone...aksi memasang winch bagi membolehkan kereta tidak dibawa arus deras akibat hujan
usaha menyelamatkan penumpang yang berada dalam perut kereta untuk naik ke bumbung
hari berikutnya barulah berjaya menyeberangi sungai di kawasan Tongod
antara orang-orang kuat yang mengangkat pokok kayu untuk menghalang kereta dari maju ke depan semasa winching menarik kereta dalam salut lumpur dilakukan


Trip to Imbak Canyon Day 3

Day 3 (25 March) in Imbak Canyon I woke up at 5am in the dark and took shower then proceed with breakfast at 6am. I couldn't slept...