Published in Utusan Borneo
(9 November 2014)
Menyaksikan ekspedisi Borneo Safari (BS) sejak di
bangku sekolah membuatkan hati kecil Kenny Chin, 34, terdetik untuk menyertai
sukan pacuan empat roda itu suatu hari kelak.
Berbekalkan minat yang mendalam terhadap sukan
pacuan empat roda itu, akhrinya beliau menyertai BS pada tahun 2012.
Ahli Perniagaan ini berkata, kali pertama menyertai
BS sebagai peserta pertandingan dan memenangi Jamboree Challenge adalah
kenangan yang tidak mungkin dilupakan.
Siapa menyangka angan-angan yang tersemat dalam diri
sejak berusia 15 tahun menjadi kenyataan. Apatah lagi apabila memenangi
pertandingan.
Mengimbau kembali detik kemenangan itu, Kenny atau
lebih mesra dengan panggilan Ah Kian berkata, semasa menyertai Jamboree
Challenge enjin Isuzu Trooper miliknya pecah di tengah-tengah hutan belantara
ketika dalam perjalanan dari Kota Belud menuju Ranau.
"Bayangkan di tengah-tengah hutan itu jugalah
saya menukar enjin," katanya ketika ditemui semasa Cabaran Antarabangsa
Off Road Borneo Safari 2014 yang berlangsung pada 26 Oktober hingga 2 November
lalu.
Ah Kian yang bertindak sebagai pemandu untuk
kumpulan media pada tahun ini berkata, minat mendalam terhadap sukan lasak itu
membuatkan beliau sanggup berkorban wang ringgit demi mengubahsuai Trooper
miliknya.
"Disebabkan minat, ketika mula-mula menyertai
BS pada 2012, saya membelanjakan hampir RM 30, 000 untuk mengubahsuai kereta
secara berperingkat-peringkat. Ia kerana trooper hanya mempunyai dua pintu
maka, saya mengubahnya daripada dua pintu kepada empat pintu," jelasnya.
Ditanya mengenai perbelanjaan yang dilakukan setiap
kali menyertai BS, beliau berkata, setiap tahun beliau membelanjakan RM 5,
000-RM 8, 000 untuk menyelenggara kereta serta membeli barangan dan makanan.
Ah Kian berkata, setiap tahun beliau memang
ternanti-nanti untuk menyertai BS kerana rindu dengan suasana hutan dan cabaran
lasak yang perlu ditempuhi.
"Menariknya mengenai BS ini adalah saya dapat
melihat keupayaan dan kebolehan kereta ketika masuk dalam kawasan berlumpur.
Selain itu, saya juga teruja untuk kembali berkumpul bersama kawan-kawan yang
jarang ditemui.
"Seronoknya dalam hutan ini adalah tiada
komunikasi dengan dunia luar sebab talian telefon dan itu menyebabkan peserta
dapat berbual mesra dan mengenali antara satu sama lain, " katanya.
Ketika ditanya sama ada beliau tidak merasakan sukan
lasak itu membazir kerana perlu membelanjakan sejumlah wang yang agak besar, Ah
Kian berkata, beliau tidak merasakan menyertai BS suatu pembaziran.
"Saya tidak rasa menyertai BS ini buang duit.
Ia lebih kepada kepuasan diri ketika melalui hari-hari yang menyeronokkan dan
mencabar dalam hutan," katanya.
Menurutnya, selain BS, beliau juga turut menyertai
cabaran yang dianjurkan oleh Kelab Pacuan Empat Roda lain seperti Tenom,
Sipitang, Tawau dan Sandakan.
Satu lagi peristiwa mencabar yang pernah dilalui
beliau adalah semasa menyertai WRS Challenge di Membakut, yang mana, keretanya
terbalik dan keempat-empat tayar di atas semasa winching dilakukan.
Walaupun berhadapan dengan situasi mencemaskan itu
tidak pernah membuatkan beliau serik untuk menyertai cabaran sukan lasak pacuan
empat roda.
Kemudian ditanya mengenai nasihat buat mereka yang
ingin menyertai BS, beliau berkata, sukan lasak ini memerlukan minat yang
mendalam kerana ia bukan sekadar ingin masuk hutan dan menempuhi laluan sukar.
Menyertai BS memerlukan disiplin yang tinggi dalam
diri kerana semua peserta harus saling bantu-membantu dan bergerak sebagai satu
pasukan.
Ah Kian berkata, BS adalah platform yang baik untuk
mempromosikan destinasi menarik yang sukar untuk dimasuki oleh kenderaan biasa.
Malah, banyak tempat-tempat menarik yang dapat dijelajah sepanjang BS
berlangsung.
Turut berkongsi pengalaman sepanjang menyertai BS
adalah Liew Yun Lin, 46 atau lebih dikenali sebagai Ah Ngiu, yang bermaksud
kerbau (disebabkan hon keretanya berbunyi seperti kerbau).
Liew yang bertugas sebagai Media Sweeper dalam BS
kali ini berkata, menyertai BS sejak 11 tahun lalu memberikan banyak pengalaman
berbeza buatnya.
Pengasas dan Mantan Presiden Kelab Pacuan Empat Roda
(PFWDC) ini berkata, setiap tahun cabaran BS memang berlainan dan itu yang
membuatkan beliau teruja setiap kali menantikan BS.
Mengimbas kembali bagaimana beliau mula terjebak
dengan sukan lasak itu, beliau berkata, Hilary Francis atau Aleey adalah orang
yang mula-mula memperkenalkan BS kepadanya pada tahun 2003.
Sejak itu, setiap tahun Ah Ngiu tidak melepaskan
peluang untuk menyertai BS. Sebelum ini, beliau pernah menjadi scout dan
support vehicle.
Minat mendalam terhadap sukan pacuan empat roda
menyebabkan beliau sanggup berjalan jauh sehingga ke Indonesia dan Brunei
Darussalam untuk menyertai aktiviti Four Wheel Drive (4WD) yang dianjurkan di
sana.
Menurutnya, setiap kali menyertai BS, beliau akan
membelanjakan RM 3, 000-RM 5, 000 untuk penyelenggaraan kereta Toyota Land
Cruise BJ43 miliknya serta membeli makanan sebelum menyertai masuk hutan.
Ahli perniagaan yang memiliki bengkel 4WD ini
berkata, perbelanjaan itu sesuatu yang berbaloi kerana kepuasan dan pengalaman
dalam hutan semasa BS berlangsung tidak mungkin dapat dibeli dengan wang
ringgit.
Ah Ngiu yang mempunyai dua anak ini berkata, anak
lelakinya yang berusia 13 tahun mengikut jejaknya yang meminati sukan pacuan
empat roda.
Katanya, anaknya itu memang ingin menyertai BS
tetapi disebabkan syarat peserta BS harus berusia 18 tahun ke atas, anaknya
terpaksa menunggu lagi 5 tahun untuk menyertai BS.
Semasa ditanya apa yang membuatkannya menyertai BS
setiap tahun, Ah Ngiu berkata, keseronokan berjumpa dengan kawan-kawan dan
meninggalkan kesibukan kerja seketika membuatkannya sentiasa ingin menyertai
BS.
Ditanya pengalaman mencemaskan semasa menyertai
sukan pacuan empat roda itu, beliau berkata, beliau pernah terlibat kemalangan
semasa dalam perjalanan menuju ke Labuan bagi menyertai Labuan Challenge.
Tetapi, beliau merasa bertuah kerana semuanya selamat dan tiada kecederaan
teruk yang berlaku.
Dengan pengalaman 11 tahun menyertai BS, Ah Ngiu
menyarankan sesiapa yang berminat menyertai BS agar tanamkan dalam diri
disiplin diri dan semangat berpasukan yang baik.
"Dalam menyertai BS ini semua peserta harus
sering bekerjasama. Harus pandai membawa diri dan tidak terlalu pentingkan diri
sendiri. Jangan terlalu menunjuk-nunjuk. Sebelum ini memang ada peserta yang
pentingkan diri sendiri terutama muka-muka baru. Orang sebegini tidak akan
bertahan lama untuk menyertai BS," katanya.
Bagi Penjawat Awam Damian Binidip, 42, yang
bertanggungjawab sebagai pemandu kumpulan media dalam BS kali ini berkata, selain
minat yang mendalam terhadap sukan pacuan empat roda, apa yang penting adalah
perlu ada jalinan atau ‘connection’ dengan orang lain.
“Ia kerana tanpa ada connection, sukar untuk
seseorang meminati sukan ini mencari platform sesuai untuk menyertainya.
“Macam saya, jika saya tidak menyertai PFWDC, saya
tidak tahu platform yang perlu saya gunakan untuk menyertai BS.
“Saya memiliki kereta pacuan empat roda pada 2010
dan mula menyertai BS pada lalu kerana pada semasa membeli kereta, saya masih
tidak tahu bagaimana untuk menyertai BS sehinggalah saya menyertai PFWDC pada
2013, barulah saya dapat menyertai BS,” kata ayah kepada tiga orang anak ini.
Bendahari PFWDC ini berkata, disebabkan minat yang
mendalam dalam sukan lasak itu, beliau sanggup membelanjakan hampir RM 50, 000
secara berperingkat bagi tujuan mengubahsuai dan meningkatkan kuasa pacuan
empat roda yang dimiliki.
Damian juga sama seperti Ah Kian dan Ah Ngiu yang
sering menantikan BS berlangsung kerana gemarkan cabaran ketika berada di hutan
serta dapat berjumpa dengan ramai kawan-kawan yang mempunyai minat yang sama.
“Menariknya tentang BS ini adalah semua peserta sama
rata, tiada taukeh dan tiada kuli kerana semua orang adalah sama,” katanya.
Ditanya adakah beliau merindui isteri dan anak-anak
sepanjang lapan hari di hutan, Damian berkata, menghabiskan masa lapan hari di
hutan, perasaan rindu terhadap keluarga sudah pasti ada.
“Namun, BS hanya diadakan sekali setahun dan isteri
serta anak-anak memahami minat saya,” katanya yang bertekad untuk terus
menyertai BS selagi keadaan mengizinkan.
Damian berkata, anak perempuannya yang bongsu mula
menunjukkan minat terhadap sukan pacuan empat roda apabila sering menyertai
beliau semasa Perjumpaan Keluarga bersama keluarga ahli-ahli PFWDC yang lain.
Seorang lagi peserta BS yang menjadi pemandu
Kumpulan Media, Herry Joseph, 27, berkongsi kisah menariknya sepanjang
menyertai BS.
Herry yang menyertai BS buat kali kedua ini berkata,
berhadapan dengan masalah kereta rosak sepanjang BS kali ini memberi cabaran
hebat kepadanya.
Namun, ia memberi pengalaman baru kepadanya untuk
belajar menghadapi dugaan semasa berada di tengah-tengah hutan belantara.
Katanya, setiap tahun menyertai BS, cabaran yang
dilalui amat berbeza kerana laluan yang diikuti juga berbeza.
Namun, itulah BS, ia menghidangkan seribu satu kisah
berbeza kepada sesiapa sahaja yang menyertainya.
Boy berkata, setiap kali menjelang bulan Oktober,
beliau mula menantikan tarikh penganjuran BS kerana tidak ingin terlepas
peluang menyertainya.
“Memandangkan saya gemarkan cabaran, saya suka
menyertai BS untuk melihat tahap keupayaan kereta yang dipandu meredah laluan
hardcore (laluan sukar). Merdah hutan belantara,bermandi lumpur dan merentasi
sungai sudah menjadi kelaziman dalam BS dan itulah cabaran yang saya nantikan,”
katanya.
Ditanya sama ada beliau mempunyai hasrat untuk
menyertai BS sebagai peserta pertandingan, beliau berkata, beliau mungkin akan
menjadi peserta pertandingan dalam tempoh empat tahun lagi kerana ingin menimba
pengalaman dalam BS terlebih dahulu.
Mungkin selepas membeli Isuzu Trooper yang dirasakan
lebih tahan lasak, barulah beliau akan menyertai pertandingan dalam BS.
Jika cabaran pacuan empat roda lain beliau sudah
pernah menyertainya. Antara pertandingan itu adalah Penampang Challenge dan
juga Rally Beaufort Challenge.
Seorang lagi peserta BS yang boleh dikatakan ‘orang
lama’ adalah Mustafah Ayub Abd Gafar atau Pak Ayub, 47, yang menyertai BS sejak
2002.
Walau belum pernah
menyertai BS sebagai peserta pertandingan namun, Pak Ayub adalah orang yang
berjasa kerana sanggup menggalas tugas sebagai Chuck Wagon iaitu orang yang
bertanggungjawab menyediakan makanan buat Kumpulan Media dalam penganjuran BS sejak
2007.
Ahli Perniagaan yang
menyifatkan dirinya sebagai pencinta alam ini berkata, sejak diamanahkan untuk
menyediakan makanan dalam BS, tidak pernah terlintas di fikiran beliau untuk
menolak amanah yang dipertanggungjawabkan.
Disebabkan minat dengan
sukan pacuan empat roda, beliau sanggup meredah hutan bagi menyumbang tenaga
dalam BS.
Pak Ayub berkata, bagi
membawa bekalan makanan memasuki hutan belantara, beliau memerlukan lima kereta
pacuan empat roda.
Kini, Pak Ayub mempunyai
15 orang kakitangan untuk membantunya menyediakan makanan sepanjang BS
berlangsung untuk lapan hari (26 Oktober hingga 2 November).
Sebelum ini beliau juga
pernah menyertai WRS Challenge di Membakut pada 2012 dan Kota Belud Challenge
2003.
Berbeza dengan peserta lelaki yang berperanan
sebagai pemandu, Annabelle Michael, 28, yang menyertai BS sebagai penumpang
menceritakan pengalaman berbeza.
Ketika mengimbau kembali saat mula-mula menyertai
BS, beliau berkata, isteri Ketua Media iaitu Roslin Kurus atau Lyn yang
mula-mula mengajaknya menyertai BS pada tahun lalu.
Katanya, beliau mengenali Lyn semasa Perjumpaan
Keluarga untuk ahli PFWDC, yang mana suaminya yang dikenali sebagai Boy Damian
juga ahli kelab itu.
“Semasa mula-mula join memang risau bila memikirkan
bagaimana untuk menjalani kehidupan dalam hutan selama beberapa hari namun, Lyn
yang banyak memberi tunjuk ajar,” katanya.
Namun, pengalaman kali pertama banyak mengajarnya
untuk lebih bersedia apabila menyertai BS pada tahun ini.
Malah, beliau juga sudah mula merasa seronok
menyertai BS dan sudah mula mengetahui serba-sedikit mengenai kereta serta
winching.
Annabelle yang baru mendirikan rumah tangga pada Jun
2014 berkata, berada dalam BS membolehkan beliau dapat meluangkan masa bersama
pasangan tanpa ada gangguan luar kerana dalam hutan talian telefon langsung
tiada.
Ditanya mengenai cabaran yang dirasai sepanjang dua
tahun menyertai BS, beliau berkata, walaupun BS yang diadakan di Trus Madi,
Tambunan pada tahun lalu lebih mencabar tetapi, kali ini mereka berhadapan
detik cemas apabila kereta dinaiki Lyn berkandas dalam sungai.
Itulah BS yang sebenarnya tanpa cabaran ia tidak
akan memberi pengalaman yang menyeronokkan buat peserta.
Annabelle menasihatkan mana-mana golongan wanita
yang ingin menyertai BS pada masa akan datang agar bersedia dari segi mental
dan fizikal.
breakfast yang disediakan oleh Team Chuck Wagon |