Wednesday, November 26, 2014

Cabaran Antarabangsa Borneo Safari Imbak Canyon 2014 (Part 1)

Published in Utusan Borneo 
(5 November 2014)

Borneo Safari 2014, Saji Pengalaman berbeza buat peserta


Bermalam selama tiga malam di kawasan yang hanya dikelilingi hutan belantara dalam sebuah khemah besar yang dikongsikan bersama rakan media lain tidak pernah terlintas di fikiran penulis.

Apatah lagi bila memikirkan sebagai seorang yang bertudung pasti tidak selesa berada dalam suasana terbuka seperti itu.

Akan tetapi, penulis berjaya mengenepikan segala ketidakselesaan itu setelah melihat rakan media lain yang menghormati cara penulis berpakaian.

Itulah antara cabaran yang penulis tempuhi sepanjang empat hari menyertai Cabaran Antarabangsa Off Road Imbak Canyon Borneo Safari 2014.

Berbekalkan keyakinan bahawa penulis mampu menjalani kehidupan dalam hutan, penulis mengambil peluang diberi Isuzu Malaysia untuk menyertai dan membuat liputan bagi Borneo Safari kali ke-24 ini.

Walau penulis hanya berpeluang menyertai separuh perjalanan sahaja namun, pengalaman kali pertama menyertai BS memberi seribu satu pengalaman berbeza kepada penulis.

Jika diawal perjalanan pelbagai kerisuan bermain di fikiran kerana memikirkan bagaimana hendak mandi dan buang air ketika berada dalam hutan tetapi, setelah mengikuti BS selama empat hari, segalanya berjalan lancar dan kerisauan itu lenyap begitu sahaja.

Atas tunjuk ajar semua pihak, hari-hari yang disangkakan ‘teruk’ dapat dilalui dengan penuh kesabaran dan memberi pengalaman yang menyeronokkan.

Tahun ini terdapat sebanyak 270 kenderaan pacuan empat roda yang terdiri daripada kumpulan media, kumpulan perubatan, peserta pertandingan ujian peringkat istimewa atau Special Stage (SS) dan peserta ‘tag on’ iaitu mereka yang menyertai BS untuk menimba pengalaman berada dalam hutan.

Hari pertama, sebaik sahaja acara pelepasan peserta BS diadakan di hadapan Lembaga Pelancongan Sabah (STB), perjalanan diteruskan ke SS pertama yang terletak di atas bukit kawasan Gayang.

Cabaran SS pertama bermula jam 12 tengahari. Dalam keadaan cuaca panas terik di kawasan tanah kuning yang berhabuk, penulis gagahi diri untuk merakamkan aksi-aksi menarik peserta.

Ketika itu penulis berpeluang melihat kecekapan peserta yang bertanding dan kemahiran mereka menggunakan winching yang disangkut pada pokok bagi menaiki bukit setinggi 90 darjah.

Dalam tempoh masa yang ditetapkan, peserta pertandingan harus berjaya melepasi halangan dan tiba di tapak permulaan. Kiraan mata diberi berdasarkan kecekapan pemanduan dan rekod masa yang diambil.

Selesai merakamkan gambar menarik, perjalanan diteruskan pada jam 1.15 petang menuju ke tapak perkhemahan.

Pada malam pertama, tapak perkhemahan terpaksa ditukar ke tempat baru disebabkan laluan menuju ke tapak asal banjir dan tidak selamat untuk dilalui.

Akhirnya tapak perkhemahan baru di hari pertama ditetapkan di Pusat Pelancongan Tagal Kampung Lingkubang, Kota Belud.

Malam pertama menyertai BS semuanya selesa kerana ada tempat mandi dan tidur yang sempurna.

Penulis bersama rakan media lain tidur di ruang terbuka berbumbungkan zink beramai-ramai. Walau hanya beralaskan katil kem atau ‘camp bed’ dan berselimutkan ‘sleeping bag’ penulis rasa seolah-olah tidur dalam rumah.

Perjalanan hari kedua bermula jam 7.25 pagi menuju ke Tapak Perkhemahan Tawai. Difahamkan jaraknya kira-kira 300 km dari Kota Belud dan mengambil masa lima jam perjalanan. Bagaimanapun, disebabkan banyak perhentian, masa yang diambil jauh lebih lama daripada itu.

Peserta BS sempat berhenti di Pekan Kota Marudu bagi mengambil 300 kotak air mineral yang ditaja oleh Kedai Su Chung.

Ketika dalam perjalanan menuju ke Telupid, kenderaan yang penulis naiki iaitu Isuzu D-Max milik pemandu, Herry Joseph atau digelar Boy D-Max mengalami kerosakan dan memerlukan kumpulan media berhenti untuk memperbaikinya.

Penulis menaiki kereta itu bersama dua penumpang lain iaitu wakil Isuzu Malaysia Freddy Jimmy dan pembantu pemandu Cornelius Jay J.T atau Bong.

Bagaimanapun masa diambil untuk memperbaiki kerosakan tidak lama dan perjalanan diteruskan menuju ke destinasi seterusnya.

Dalam perjalanan menuju ke Telupid, kumpulan media berhenti sekali lagi apabila dikhabarkan kenderaan membawa kumpulan perubatan terlibat kemalangan. Nasib agak baik kerana ia tidak membabitkan sebarang kecederaan.

Pada hari kedua ini, penulis sempat memandu Isuzu D-Max V-Cross 2.5 selama hampir sejam ketika dalam perjalanan dari Paitan ke Telupid.

Apabila penulis mengambil alih tempat pemandu, perasaan gementar mula terasa maklumlah itu kali pertama penulis memandu pacuan empat roda. Semasa memandu, penulis dapat rasakan kelancaran enjin menaiki bukit dan ketika memotong kenderaan lain.

Gegaran pada stering juga dapat dirasakan kerana saiz tayar agak besar kerana sudah ditukar kepada centipede atau lebih dikenali sebagai lipan untuk membolehkan pacuan empat roda itu mampu melalui laluan sukar dan berlumpur.

Cabaran Sebenar: Laluan Sukar

Sepanjang dua hari berada di lebuhraya Kota Kinabalu-Kota Belud-Telupid, akhirnya memasuki hari ketiga barulah cabaran sebenar bermula.

Ketika ini, tiada lagi lebuhraya dan jalan bertar. Apa yang dapat dilihat disekeliling hanyalah ladang kelapa sawit dan hutan belantara.

Dari tapak perkhemahan yang terletak tidak jauh dari Bulatan Nangoh di kawasan Telupid, peserta BS bergerak seawal 7 pagi untuk memasuki kawasan hutan yang kira-kira 300 meter dari tapak khemah.

Menerusi walkie-talkie difahamkan perjalanan dari tapak perkhemahan menuju ke destinasi seterusnya, Pusat Konservasi Kanyon Imbak (ICCC) adalah sejauh kira-kira 108km.

Setelah hampir sejam meninggalkan kawasan perkampungan Entilibon, barulah penulis mengetahui bahawa hutan yang akan dilalui adalah Hutan Simpan Tangkulap Deramakot. Itupun setelah melihat papan tanda.

Kira-kira jam 10 pagi, semua pacuan empat roda termasuk kumpulan media berhenti dan beratur menunggu giliran bagi melepasi laluan sukar atau laluan hardcore yang pertama bagi BS kali ini.

Disinilah keupayaan sebenar Isuzu D-Max V-Cross dapat diuji. Ternyata kereta pacuan empat roda yang sudah dilengkapi dengan winch dan tayar lipan itu mampu meredah laluan sukar dengan mudah.

Ketika ini bagi membolehkan kenderaan melalui laluan hardcore, semua kenderaan perlu menggunakan winch bagi melepasi jalan berlumpur dan licin dan sedikit berbukit. Terdapat juga kereta yang mampu melalui laluan hardcore itu tanpa menggunakan winch.

Ketika ini, penulis dapat melihat bagaimana ‘winching’ dilakukan sama ada disangkut pada kenderaan lain mahupun pada pokok.

Ia bukan tugas yang mudah kerana pemandu harus sentiasa mendengar arahan. Pembantu pemandu serta peserta lain juga harus tangkas menarik keluar kabel winch untuk disambungkan kepada kenderaan yang bertindak sebagai ‘anchor’.

Bagi kenderaan yang agak besar dan berat, ia memerlukan dua buah kenderaan untuk menariknya keluar dari laluan lumpur.

Menyaksikan kerjasama dan semangat berpasukan yang ditunjukkan semua peserta dalam memastikan semua kenderaan berjaya melepasi laluan hardcore membuatkan penulis mula merasa bertuah kerana berpeluang menyertai BS.

Setelah melepasi kedua-dua laluan harcore, difahamkan kereta penulis naiki mengalami kerosakan, iaitu axle shaft patah. Maka, keupayaan D-Max yang dinaiki semakin berkurang kerana four-wheel-drive tidak berfungsi dan hanya bergantung kepada two-wheel-drive sahaja.

Disebabkan kerosakan itu, apabila menaiki kawasan bukit dengan jalan yang licin, kereta yang penulis naiki terpaksa bergantung kepada kereta hadapan untuk menariknya melepasi laluan yang licin.

Semasa bergantung kepada kereta dihadapan untuk menaiki bukit, kereta penulis naiki terlanggar batu besar dan senget sedikit ke sebelah kiri. Genggaman tangan pada pemegang kereta dirasakan semakin kuat kerana memikirkan kemungkinan kereta akan terbalik.

Bagaimanapun pemandu sangat profesional dan berjaya menyeimbangkan kereta semula. Setelah kereta dalam keadaan seimbang, barulah winch diarahkan untuk disambung kepada kereta yang berada di atas bukit yang jaraknya kira-kira 50 meter.

Pada masa ini, dalam seumur hidup penulis, itu kali pertama penulis ikut menarik kabel winch walaupun hanya seketika.

Masa ini barulah penulis mengetahui betapa sukarnya kabel itu untuk ditarik keluar tambahan pula harus menaiki bukit.

Nasib penulis agak baik kerana pembantu pemandu kereta di hadapan turun menghulurkan bantuan bagi menarik kabel hingga ke kereta mereka. Kalau hendak harapkan penulis tarik winch sampai atas, memang tidak larat.

Laluan hardcore tidak terhenti disitu. Selepas hampir 15 minit perjalanan, sekali lagi kereta terpaksa dihentikan kerana ada sebuah kereta tersangkut dalam tanah lembut yang berlumpur.

Cuaca hujan menyukarkan lagi kereta itu untuk ditarik keluar. Walaupun dua buah kereta digunakan untuk menarik kereta terbabit, ia tetap tidak berganjak.

Memikirkan sesuatu perlu dilakukan, peserta yang terkandas disitu membuka laluan baru dengan mencangkul jalan dan merebahkan pokok bagi memudahkan kereta lalu.

Setelah 30 minit tersadai di situ, kereta yang tersangkut akhirnya berjaya melepasi laluan terbabit dengan menggunakan laluan baru dan bantuan winching.

Kemudian, kereta lain yang berada di belakang termasuk kereta dinaiki penulis juga berjaya melepasi kawasan itu.

Akhirnya kenderaan dinaiki penulis tiba di tapak perkhemahan baru kira-kira 4 petang.

media official vehicles..Isuzu D-Max V-cross
here we are..media team for Borneo Safari 2014
Penginapan Hotel 5 Bintang kami sepanjang berada dalam hutan

Trip to Imbak Canyon Day 3

Day 3 (25 March) in Imbak Canyon I woke up at 5am in the dark and took shower then proceed with breakfast at 6am. I couldn't slept...