Wednesday, March 14, 2018

Muslim Fam Trip, Taiwan (Part 1)



(Published in Utusan Borneo, Sabah-1 Mac 2017)


Mengembara/menjelajah ke bumi Taiwan seringkali menimbulkan kebimbangan dari segi pemakanan terutama untuk mendapatkan makanan halal dalam kalangan pelancong Muslim pada suatu ketika dahulu.


Namun sejak sembilan tahun lalu, negara yang mempunyai minoriti Islam ini mula memperluaskan pasaran pelancongan Muslim bagi menarik lebih ramai masyarakat Islam di seluruh dunia untuk berkunjung ke negara berkenaan.

Dengan kemasukan pelancong Muslim yang semakin bertambah pada saban tahun, Biro Pelancongan Taiwan di Malaysia meningkatkan usaha mempromosi pelancongan Muslim Taiwan di Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak.

Kesempatan mengikuti ‘Muslim Familiarization Trip’ selama lima hari baru-baru ini membolehkan penulis melihat sendiri bagaimana penggiat industri pelancongan di Taiwan mempromosikan tempat mereka sebagai destinasi yang sesuai untuk pelancong Muslim.

Timbalan Pengarah Pejabat Biro Pelancongan Taiwan di Kuala Lumpur Cindy Chen ketika ditemui semasa ‘Muslim Fam Trip’ memberitahu bahawa terdapat peningkatan kira-kira 10 peratus kemasukan pelancong Malaysia ke Taiwan pada tahun lalu, menjadikan jumlahnya seramai 474 400 orang.

Dengan peningkatan berkenaan, usaha diteruskan bagi menarik lebih ramai pelancong Malaysia terutama pelancong Muslim untuk berkunjung ke negara dikenali sebagai ‘The Heart of Asia’ ini.

Selaras dengan itu, Taiwan kini mempunyai 101 restoran serta hotel yang menyediakan makanan halal dan Muslim-Friendly (mesra Muslim).

Kawasan tumpuan pelancong seperti Lapangan Terbang Antarabangsa Taoyuan, Taipei Station serta 13 taman rekreasi utama (sceneric area) menyediakan ruangan solat serta tandas yang sesuai untuk pelancong Muslim.

Menurutnya, untuk Muslim Fam Trip kali ini, mereka memberi fokus kepada promosi di bahagian tengah dan selatan Taiwan.

“Pelancong biasanya lebih suka mengunjungi Taipei serta bahagian Utara Taiwan terutama dalam kalangan pelancong Malaysia. Atas sebab itu, kami ingin mempromosikan bahagian selatan pula,” jelasnya.

Berkongsi mengenai cabaran semasa mula-mula memperkenalkan pasaran pelancongan Muslim kepada penggiat industri pelancongan di Taiwan, Cindy berkata, tidak banyak cabaran yang diterima kerana penggiat industri amat teruja untuk memasuki pasaran Muslim.

Penerimaan penggiat industri pelancongan sangat baik cuma terdapat beberapa perdebatan idea mengenai ruang untuk meletakkan makanan halal dan tidak halal.

Sesetengah penggiat industri berpendapatan hidangan untuk bufet restoran di hotel tidak perlu diasingkan antara halal dan tidak halal. Namun, sesetengah penggiat industri mengatakan ia perlu diasingkan.

Ia kerana ada restoran di hotel yang menyusun hidangan mengikut kesesuaian seperti bahagian makanan sejuk, panas, goreng mahupun pencuci mulut.

Cindy berkata, usaha akan diambil bagi mengatasi segala kelemahan yang ada dari segala aspek bagi menggalakkan lebih ramai pelancong Muslim berkunjung ke Taiwan.

Katanya pelancong Muslim yang berkunjung ke Taiwan kebanyakan dari negara China, Malaysia, negara-negara Timur Tengah dan Indonesia.

Dalam menarik lebih ramai pelancong Malaysia ke Taiwan, Cindy berkata, mereka bekerjasma dengan enam agensi pelancongan di Sabah dan lebih 20 agensi pelancongan di Semenanjung Malaysia.

Sepanjang Muslim Fam Trip, penulis berpeluang menikmati hidangan halal di beberapa restoran dan hotel seperti di City Suites Taoyuan Gateway, Taoyuan; Nice Prince Hotel, Chiayi; Evergreen Laurel Hotel, Taichung; Restoran Turki-Private Chef Kitchen, Chiyai; Restoran Ma Fei di Yuyupas, Bandar Alishan (Chiyai); Restoran Tainan Tan Tsu Mien, Taichung; Forest 18 Leisure Farm, Nantou; Restoran Little India Muslim, Taichung; Restoran Aladdin Muslim Friendly di Leofoo Village Theme Park, Guangshi; dan Restoran Chiba di Hotel Amba Taipei Ximending.

Hotel yang mendapat persijilan Muslim Friendly Tourism turut menyediakan petanda Qiblah dan jadual solat di setiap bilik yang mempunyai pelanggan Muslim. Atas sebab itu, setiap tempahan hotel, perlu memaklumkan lebih awal sekiranya pelanggan adalah pelanggan Muslim.

Semasa lawatan berkenaan, penulis berpeluang bertemu dengan wakil Persatuan Cina Muslim (CMA) Taiwan yang berpusat di Masjid Besar Taipei. Rombongan penulis disambut oleh Setiausaha Agung CMA Salahuding Ma.


Pejabat CMA yang terletak di Masjid Besar Taipei

Penerangan mengenai tiga persijilan dikeluarkan CMA iaitu Sijil Halal, Sijil Muslim-Friendly Restaurant dan Sijil Muslim-Friendly Tourism memberi keyakinan kepada penulis untuk menikmati hidangan di restoran yang mendapat persijilan halal tanpa was-was. 

Dengan adanya aplikasi telefon pintar ‘halal.taiwan’ yang mula diperkenalkan pada Januari lalu akan memudahkan pelancong Muslim mengenalpasti masjid dan restoran halal yang terdapat di Taiwan. Apps berkenaan boleh dimuatnaik melalui App Store mahupun Play Store.
                            
Pakar Halal CMA Majid Tsai ialah orang yang bertanggungjawab dalam memantau dan menilai kelayakan restoran dan hotel untuk memperoleh persijilan daripada CMA. Sehingga kini, sebanyak 101 persijilan halal, sijil Muslim-Friendly dan sijil Muslim Friendly Tourism dikeluarkan di seluruh Taiwan.

Beliau memberitahu bahawa setiap tahun mereka menerima antara 10 hingga 30 permohonan bagi mendapatkan persijilan dikeluarkan CMA itu. Setiap permohonan mengambil masa dua hingga tiga bulan untuk diluluskan.

Namun kelulusan hanya diberi kepada restoran mahupun hotel yang menepati segala syarat yang ditetapkan seperti mengasingkan ruangan masakan halal, menyediakan set pinggan-mangkuk khas untuk makanan halal, menyediakan tanda Qiblah dan jadual solat untuk mudahkan pelancong dan memberi latihan kepada tukang masak dan kakitangan restoran atau hotel.

Majid berkata, persijilan yang dikeluarkan CMA memerlukan tukang masak dan kakitangan hotel menjalani kursus latihan selama tiga jam bagi memberitahu mereka asas mengenai Islam, bahan mentah yang digunakan serta perkara yang tidak boleh digunakan dalam masakan untuk Muslim.

Langkah mengeluarkan persijilan halal, sijil Muslim-Friendly Restaurant dan sijil Muslim Friendly Tourism itu adalah inisiatif Biro Pelancongan Taiwan untuk mempromosikan pasaran pelancongan Muslim.

Salahuding berkata, tiada bayaran dikenakan bagi memperoleh mahupun memperbaharui persijilan yang dikeluarkan CMA.

Namun untuk menghadiri kursus latihan, bayaran sebanyak RM 6, 000 perlu dibuat bagi membolehkan kakitangan restoran atau hotel menyertai latihan yang dijalankan.

Katanya, jika restoran mahupun hotel yang sudah mendapat persijilan melanggar peraturan ditetapkan, denda sebanyak TWD 1 juta.

Menurutnya, jika restoran dan hotel didapati melanggar peraturan ditetapkan, mereka tidak akan dibenarkan untuk memperbaharui mahupun memohon semula persijilan halal dan sijil Muslim-Friendly Restaurant.

“Jika pemegang sijil halal dan Muslim Friendly melakukan kesalahan tiga kali berturut-turut, mereka tidak akan dibenarkan memohon semula. Ia kerana mereka sudah memberi reputasi tidak baik kepada industri,” jelasnya.

Pada enam tahun lalu, hanya 10 sahaja sijil halal yang dikeluarkan namun kini jumlah itu bertambah 10 kali ganda.

Salahuding berkata, bagi memudahkan proses mempromosikan restoran mahupun hotel yang menyediakan makanan halal dan Muslim-Friendly, Biro Pelancongan Taiwan dengan kerjsama CMA melatih hampir 500 pemandu pelancong (tourist guide) mengenai pasaran makanan halal di Taiwan.

Untuk produk barangan halal pula, sebanyak 500 buah syarikat sudah menerima persijilan bagi mengeluarkan produk halal.

Trip to Imbak Canyon Day 3

Day 3 (25 March) in Imbak Canyon I woke up at 5am in the dark and took shower then proceed with breakfast at 6am. I couldn't slept...