Thursday, April 3, 2014

Wanita Sabah pertama sahut cabaran mendaki Gunung Everest


Dari seorang Unduk Ngadau, Doris Jetirin Sitaun bakal mencipta nama sebagai wanita Sabah pertama yang akan menjejakkan kaki ke puncak Gunung Everest.

Dorin, 45, yang dinobatkan sebagai pemenang Unduk Ngadau (UN) Inanam dan mewakili Tambunan di peringkat UN negeri pada tahun 1985 berkata, impiannya untuk menjejakkan kaki ke puncak gunung tertinggi di dunia itu akhirnya bakal menjadi kenyataan.

Berbekalkan persiapan yang rapi dengan semangat dan sokongan padu daripada anggota keluarga termasuk anak-anaknya, beliau yakin mampu merealisasikan impiannya itu.

Katanya, perjalanan bagi ekspesidi pendakian itu bermula dari 24 Mac hingga 4 June ini.

Beliau akan memulakan perjalanan dari Kota Kinabalu ke Kathmandu, Nepal pada 24 Mac ini dan akan memulakan pendakian pada 28 Mac.

“Jika semuanya berjalan lancar seperti yang dirancang, kemungkinan besar saya akan sampai puncak Gunung Everest yang berketinggian 8848m itu pada 26 Mei ini,” katanya ketika ditemui semasa sidang media sempena Ekspedisi Mendaki Gunung Kinabalu secara solo, di sini kelmarin.

Katanya, persiapan ekspedisi mendaki Gunung Everest mula dilakukan sejak tahun 2011 lagi dengan mendaki Gunung Kinabalu lebih 20 kali.

Beliau berkata, beliau juga mendaki melalui Mountain Torq via Ferrata sebanyak dua kali dengan bantuan jurulatih dari Singapura. Jurulatih itu juga adalah orang Sabah yang kini menetap di Singapura. Beliau adalah orang Sabah pertama mendaki Gunung Everest.

Doris, yang berasal dari Kg Maakat-Nountun Inanam berkata, beliau juga mendaki Gunung Kinabalu melalui multipeak seperti dari South Peak, Oyayubi Iwu dan Alexandra Peak dengan melakukan pendakian secara teknikal.

Katanya, beliau juga mendaki melalui Western Gurkha Hut sebagai latihan untuk menyesuaikan diri dengan iklim.

“Selain itu, saya juga memulakan pendakian di dua gunung di Himalaya iaitu di Island Peak yang berketinggian 6,189m dan di Gunung Ama Dablam (6,812m).

“Saya mendaki Island Peak pada Oktober 2012. Pendakian ini dilakukan bagi membolehkan saya menyesuaikan diri dengan iklim di Himalaya,” katanya.

Ibu kepada tiga orang anak ini berkata, antara saat yang mencabar sepanjang menjalani latihan untuk ekspedisi itu adalah ketika melakukan pendakian di Gunung Ama Dablam semasa musim sejuk.

“Pendakian di Ama Dablam pada Disember 2013 sedikit mencabar kerana ia lebih bersifat teknikal. Saya difahamkan, mendaki Ama Dablam semasa musim sejuk adalah dua kali ganda susah daripada mendaki Gunung Everest.

“Walau saya berhadapan dengan masalah ‘altitude sickness’ ketika mendaki Ama Dablam tetapi ia tidak teruk kerana sakit itu hanya sementara sahaja.

“Bagaimanapun, saya tidak berjaya sampai ke puncak Gunung Ama Dablam kerana ketika itu cuacan tidak mengizinkan untuk saya meneruskan pendakian. Saya hanya berjaya sampai sehingga ketinggian 6,500m,” jelasnya.

Doris mula mendaki Gunung Kinabalu ketika berusia 14 tahun dan pendakian ke puncak Kinabalu yang pertama adalah pada Disember 1982.

Katanya, sejak itu, beliau sudah banyak kali naik Gunung Kinabalu kerana minatnya dalam pendakian.

Bagaimanapun, disebabkan pakej mendaki Gunung Kinabalu semakin mahal, beliau mengambil keputusan untuk berehat dari mendaki untuk sementara selepas berkahwin dan beranak.

Selama 19 tahun berhenti mendaki, ia tidak menghalangnya untuk menerima cabaran untuk melakukan pendakian ke puncak Gunung Everest. Kali terakhir beliau mendaki adalah pada tahun 1999.

Doris berkata, beliau sangat teruja apabila kembali semula mendaki pada tahun 2009.

“Apabila seseorang mencadangkan kepada saya untuk mendaki Gunung Everest, saya menerima cabaran itu dan memulakan perancangan dan latihan yang perlu dilakukan bermula pada tahun 2011.

“Saya mendaki Gunung Kinabalu sebulan sekali dan ada kalanya, dua bulan sekali sebagai persiapan mendaki Gunung Everest,” katanya.

Menurutnya, anak-anaknya juga sudah tiga kali mengikutnya mendaki sehingga puncak Gunung Kinabalu, jelasnya.

Meninggalkan keluarga selama kira-kira tiga bulan demi meneruskan impian mendaki Gunung Everest bukan sesuatu yang mudah namun, beliau bersyukur kerana ahli keluarga sangat memahami.

Bekas pelajar SM All Saints ini kini adalah seorang arkitek yang bertugas di KK Land Sdn Bhd.

Doris berkata, sebagai wanita pertama yang akan mendaki Gunung Everest, beliau akan mengibarkan bendera Sabah di puncak gunung berkenaan.

Katanya, beliau ingin membuktikan kepada dunia bahawa orang Sabah juga mampu berjaya dalam apa sahaja walau ia memerlukan perjalanan ribuan batu.

Menyentuh mengenai kos ekspedisi itu, Doris berkata, untuk mendaki sahaja beliau memerlukan dana berjumlah USD 120,000 atau kira-kira RM 390, 000 termasuk USD12, 000 untuk permit pendakian serta bayaran untuk ‘garbage’.

Bayaran itu perlu sebagai jaminan agar pendaki tidak meninggalkan sebarang tong oksigen serta bayaran pendahuluan sekiranya pendaki mengalami kecelakaan termasuk meinggal dunia.

Doris berkata, bayaran berjumlah USD 120,000 itu termasuk permintaan untuk tambahan oksigen bagi kes kecemasan serta bayaran untuk membuat cubaan dua kali bagi mendaki gunung berkenaan. (Published in Utusan Borneo-8 Mac 2014)


Trip to Imbak Canyon Day 3

Day 3 (25 March) in Imbak Canyon I woke up at 5am in the dark and took shower then proceed with breakfast at 6am. I couldn't slept...