Showing posts with label Borneo Safari. Show all posts
Showing posts with label Borneo Safari. Show all posts

Thursday, November 27, 2014

Cabaran Antarabangsa Borneo Safari Imbak Canyon 2014 (Part 3)

Published in Utusan Borneo
(9 November 2014)

Menyaksikan ekspedisi Borneo Safari (BS) sejak di bangku sekolah membuatkan hati kecil Kenny Chin, 34, terdetik untuk menyertai sukan pacuan empat roda itu suatu hari kelak.

Berbekalkan minat yang mendalam terhadap sukan pacuan empat roda itu, akhrinya beliau menyertai BS pada tahun 2012.

Ahli Perniagaan ini berkata, kali pertama menyertai BS sebagai peserta pertandingan dan memenangi Jamboree Challenge adalah kenangan yang tidak mungkin dilupakan.

Siapa menyangka angan-angan yang tersemat dalam diri sejak berusia 15 tahun menjadi kenyataan. Apatah lagi apabila memenangi pertandingan.

Mengimbau kembali detik kemenangan itu, Kenny atau lebih mesra dengan panggilan Ah Kian berkata, semasa menyertai Jamboree Challenge enjin Isuzu Trooper miliknya pecah di tengah-tengah hutan belantara ketika dalam perjalanan dari Kota Belud menuju Ranau.

"Bayangkan di tengah-tengah hutan itu jugalah saya menukar enjin," katanya ketika ditemui semasa Cabaran Antarabangsa Off Road Borneo Safari 2014 yang berlangsung pada 26 Oktober hingga 2 November lalu.

Ah Kian yang bertindak sebagai pemandu untuk kumpulan media pada tahun ini berkata, minat mendalam terhadap sukan lasak itu membuatkan beliau sanggup berkorban wang ringgit demi mengubahsuai Trooper miliknya.

"Disebabkan minat, ketika mula-mula menyertai BS pada 2012, saya membelanjakan hampir RM 30, 000 untuk mengubahsuai kereta secara berperingkat-peringkat. Ia kerana trooper hanya mempunyai dua pintu maka, saya mengubahnya daripada dua pintu kepada empat pintu," jelasnya.

Ditanya mengenai perbelanjaan yang dilakukan setiap kali menyertai BS, beliau berkata, setiap tahun beliau membelanjakan RM 5, 000-RM 8, 000 untuk menyelenggara kereta serta membeli barangan dan makanan.

Ah Kian berkata, setiap tahun beliau memang ternanti-nanti untuk menyertai BS kerana rindu dengan suasana hutan dan cabaran lasak yang perlu ditempuhi.

"Menariknya mengenai BS ini adalah saya dapat melihat keupayaan dan kebolehan kereta ketika masuk dalam kawasan berlumpur. Selain itu, saya juga teruja untuk kembali berkumpul bersama kawan-kawan yang jarang ditemui.

"Seronoknya dalam hutan ini adalah tiada komunikasi dengan dunia luar sebab talian telefon dan itu menyebabkan peserta dapat berbual mesra dan mengenali antara satu sama lain, " katanya.

Ketika ditanya sama ada beliau tidak merasakan sukan lasak itu membazir kerana perlu membelanjakan sejumlah wang yang agak besar, Ah Kian berkata, beliau tidak merasakan menyertai BS suatu pembaziran.

"Saya tidak rasa menyertai BS ini buang duit. Ia lebih kepada kepuasan diri ketika melalui hari-hari yang menyeronokkan dan mencabar dalam hutan," katanya.

Menurutnya, selain BS, beliau juga turut menyertai cabaran yang dianjurkan oleh Kelab Pacuan Empat Roda lain seperti Tenom, Sipitang, Tawau dan Sandakan.

Satu lagi peristiwa mencabar yang pernah dilalui beliau adalah semasa menyertai WRS Challenge di Membakut, yang mana, keretanya terbalik dan keempat-empat tayar di atas semasa winching dilakukan.

Walaupun berhadapan dengan situasi mencemaskan itu tidak pernah membuatkan beliau serik untuk menyertai cabaran sukan lasak pacuan empat roda.

Kemudian ditanya mengenai nasihat buat mereka yang ingin menyertai BS, beliau berkata, sukan lasak ini memerlukan minat yang mendalam kerana ia bukan sekadar ingin masuk hutan dan menempuhi laluan sukar.

Menyertai BS memerlukan disiplin yang tinggi dalam diri kerana semua peserta harus saling bantu-membantu dan bergerak sebagai satu pasukan.

Ah Kian berkata, BS adalah platform yang baik untuk mempromosikan destinasi menarik yang sukar untuk dimasuki oleh kenderaan biasa. Malah, banyak tempat-tempat menarik yang dapat dijelajah sepanjang BS berlangsung.

Turut berkongsi pengalaman sepanjang menyertai BS adalah Liew Yun Lin, 46 atau lebih dikenali sebagai Ah Ngiu, yang bermaksud kerbau (disebabkan hon keretanya berbunyi seperti kerbau).

Liew yang bertugas sebagai Media Sweeper dalam BS kali ini berkata, menyertai BS sejak 11 tahun lalu memberikan banyak pengalaman berbeza buatnya.

Pengasas dan Mantan Presiden Kelab Pacuan Empat Roda (PFWDC) ini berkata, setiap tahun cabaran BS memang berlainan dan itu yang membuatkan beliau teruja setiap kali menantikan BS.

Mengimbas kembali bagaimana beliau mula terjebak dengan sukan lasak itu, beliau berkata, Hilary Francis atau Aleey adalah orang yang mula-mula memperkenalkan BS kepadanya pada tahun 2003.

Sejak itu, setiap tahun Ah Ngiu tidak melepaskan peluang untuk menyertai BS. Sebelum ini, beliau pernah menjadi scout dan support vehicle.

Minat mendalam terhadap sukan pacuan empat roda menyebabkan beliau sanggup berjalan jauh sehingga ke Indonesia dan Brunei Darussalam untuk menyertai aktiviti Four Wheel Drive (4WD) yang dianjurkan di sana.

Menurutnya, setiap kali menyertai BS, beliau akan membelanjakan RM 3, 000-RM 5, 000 untuk penyelenggaraan kereta Toyota Land Cruise BJ43 miliknya serta membeli makanan sebelum menyertai masuk hutan.

Ahli perniagaan yang memiliki bengkel 4WD ini berkata, perbelanjaan itu sesuatu yang berbaloi kerana kepuasan dan pengalaman dalam hutan semasa BS berlangsung tidak mungkin dapat dibeli dengan wang ringgit.

Ah Ngiu yang mempunyai dua anak ini berkata, anak lelakinya yang berusia 13 tahun mengikut jejaknya yang meminati sukan pacuan empat roda.

Katanya, anaknya itu memang ingin menyertai BS tetapi disebabkan syarat peserta BS harus berusia 18 tahun ke atas, anaknya terpaksa menunggu lagi 5 tahun untuk menyertai BS.

Semasa ditanya apa yang membuatkannya menyertai BS setiap tahun, Ah Ngiu berkata, keseronokan berjumpa dengan kawan-kawan dan meninggalkan kesibukan kerja seketika membuatkannya sentiasa ingin menyertai BS.

Ditanya pengalaman mencemaskan semasa menyertai sukan pacuan empat roda itu, beliau berkata, beliau pernah terlibat kemalangan semasa dalam perjalanan menuju ke Labuan bagi menyertai Labuan Challenge. Tetapi, beliau merasa bertuah kerana semuanya selamat dan tiada kecederaan teruk yang berlaku.

Dengan pengalaman 11 tahun menyertai BS, Ah Ngiu menyarankan sesiapa yang berminat menyertai BS agar tanamkan dalam diri disiplin diri dan semangat berpasukan yang baik.

"Dalam menyertai BS ini semua peserta harus sering bekerjasama. Harus pandai membawa diri dan tidak terlalu pentingkan diri sendiri. Jangan terlalu menunjuk-nunjuk. Sebelum ini memang ada peserta yang pentingkan diri sendiri terutama muka-muka baru. Orang sebegini tidak akan bertahan lama untuk menyertai BS," katanya.

Bagi Penjawat Awam Damian Binidip, 42, yang bertanggungjawab sebagai pemandu kumpulan media dalam BS kali ini berkata, selain minat yang mendalam terhadap sukan pacuan empat roda, apa yang penting adalah perlu ada jalinan atau ‘connection’ dengan orang lain.

“Ia kerana tanpa ada connection, sukar untuk seseorang meminati sukan ini mencari platform sesuai untuk menyertainya.

“Macam saya, jika saya tidak menyertai PFWDC, saya tidak tahu platform yang perlu saya gunakan untuk menyertai BS.

“Saya memiliki kereta pacuan empat roda pada 2010 dan mula menyertai BS pada lalu kerana pada semasa membeli kereta, saya masih tidak tahu bagaimana untuk menyertai BS sehinggalah saya menyertai PFWDC pada 2013, barulah saya dapat menyertai BS,” kata ayah kepada tiga orang anak ini.

Bendahari PFWDC ini berkata, disebabkan minat yang mendalam dalam sukan lasak itu, beliau sanggup membelanjakan hampir RM 50, 000 secara berperingkat bagi tujuan mengubahsuai dan meningkatkan kuasa pacuan empat roda yang dimiliki.

Damian juga sama seperti Ah Kian dan Ah Ngiu yang sering menantikan BS berlangsung kerana gemarkan cabaran ketika berada di hutan serta dapat berjumpa dengan ramai kawan-kawan yang mempunyai minat yang sama.

“Menariknya tentang BS ini adalah semua peserta sama rata, tiada taukeh dan tiada kuli kerana semua orang adalah sama,” katanya.

Ditanya adakah beliau merindui isteri dan anak-anak sepanjang lapan hari di hutan, Damian berkata, menghabiskan masa lapan hari di hutan, perasaan rindu terhadap keluarga sudah pasti ada.

“Namun, BS hanya diadakan sekali setahun dan isteri serta anak-anak memahami minat saya,” katanya yang bertekad untuk terus menyertai BS selagi keadaan mengizinkan.

Damian berkata, anak perempuannya yang bongsu mula menunjukkan minat terhadap sukan pacuan empat roda apabila sering menyertai beliau semasa Perjumpaan Keluarga bersama keluarga ahli-ahli PFWDC yang lain.

Seorang lagi peserta BS yang menjadi pemandu Kumpulan Media, Herry Joseph, 27, berkongsi kisah menariknya sepanjang menyertai BS.

Herry yang menyertai BS buat kali kedua ini berkata, berhadapan dengan masalah kereta rosak sepanjang BS kali ini memberi cabaran hebat kepadanya.

Namun, ia memberi pengalaman baru kepadanya untuk belajar menghadapi dugaan semasa berada di tengah-tengah hutan belantara.

Katanya, setiap tahun menyertai BS, cabaran yang dilalui amat berbeza kerana laluan yang diikuti juga berbeza.

Namun, itulah BS, ia menghidangkan seribu satu kisah berbeza kepada sesiapa sahaja yang menyertainya.

Boy berkata, setiap kali menjelang bulan Oktober, beliau mula menantikan tarikh penganjuran BS kerana tidak ingin terlepas peluang menyertainya.

“Memandangkan saya gemarkan cabaran, saya suka menyertai BS untuk melihat tahap keupayaan kereta yang dipandu meredah laluan hardcore (laluan sukar). Merdah hutan belantara,bermandi lumpur dan merentasi sungai sudah menjadi kelaziman dalam BS dan itulah cabaran yang saya nantikan,” katanya.

Ditanya sama ada beliau mempunyai hasrat untuk menyertai BS sebagai peserta pertandingan, beliau berkata, beliau mungkin akan menjadi peserta pertandingan dalam tempoh empat tahun lagi kerana ingin menimba pengalaman dalam BS terlebih dahulu.

Mungkin selepas membeli Isuzu Trooper yang dirasakan lebih tahan lasak, barulah beliau akan menyertai pertandingan dalam BS.

Jika cabaran pacuan empat roda lain beliau sudah pernah menyertainya. Antara pertandingan itu adalah Penampang Challenge dan juga Rally Beaufort Challenge.

Seorang lagi peserta BS yang boleh dikatakan ‘orang lama’ adalah Mustafah Ayub Abd Gafar atau Pak Ayub, 47, yang menyertai BS sejak 2002.

Walau belum pernah menyertai BS sebagai peserta pertandingan namun, Pak Ayub adalah orang yang berjasa kerana sanggup menggalas tugas sebagai Chuck Wagon iaitu orang yang bertanggungjawab menyediakan makanan buat Kumpulan Media dalam penganjuran BS sejak 2007.

Ahli Perniagaan yang menyifatkan dirinya sebagai pencinta alam ini berkata, sejak diamanahkan untuk menyediakan makanan dalam BS, tidak pernah terlintas di fikiran beliau untuk menolak amanah yang dipertanggungjawabkan.

Disebabkan minat dengan sukan pacuan empat roda, beliau sanggup meredah hutan bagi menyumbang tenaga dalam BS.

Pak Ayub berkata, bagi membawa bekalan makanan memasuki hutan belantara, beliau memerlukan lima kereta pacuan empat roda.

Kini, Pak Ayub mempunyai 15 orang kakitangan untuk membantunya menyediakan makanan sepanjang BS berlangsung untuk lapan hari (26 Oktober hingga 2 November).

Sebelum ini beliau juga pernah menyertai WRS Challenge di Membakut pada 2012 dan Kota Belud Challenge 2003.

Berbeza dengan peserta lelaki yang berperanan sebagai pemandu, Annabelle Michael, 28, yang menyertai BS sebagai penumpang menceritakan pengalaman berbeza.

Ketika mengimbau kembali saat mula-mula menyertai BS, beliau berkata, isteri Ketua Media iaitu Roslin Kurus atau Lyn yang mula-mula mengajaknya menyertai BS pada tahun lalu.

Katanya, beliau mengenali Lyn semasa Perjumpaan Keluarga untuk ahli PFWDC, yang mana suaminya yang dikenali sebagai Boy Damian juga ahli kelab itu.

“Semasa mula-mula join memang risau bila memikirkan bagaimana untuk menjalani kehidupan dalam hutan selama beberapa hari namun, Lyn yang banyak memberi tunjuk ajar,” katanya.

Namun, pengalaman kali pertama banyak mengajarnya untuk lebih bersedia apabila menyertai BS pada tahun ini.

Malah, beliau juga sudah mula merasa seronok menyertai BS dan sudah mula mengetahui serba-sedikit mengenai kereta serta winching.

Annabelle yang baru mendirikan rumah tangga pada Jun 2014 berkata, berada dalam BS membolehkan beliau dapat meluangkan masa bersama pasangan tanpa ada gangguan luar kerana dalam hutan talian telefon langsung tiada.

Ditanya mengenai cabaran yang dirasai sepanjang dua tahun menyertai BS, beliau berkata, walaupun BS yang diadakan di Trus Madi, Tambunan pada tahun lalu lebih mencabar tetapi, kali ini mereka berhadapan detik cemas apabila kereta dinaiki Lyn berkandas dalam sungai.

Itulah BS yang sebenarnya tanpa cabaran ia tidak akan memberi pengalaman yang menyeronokkan buat peserta.

Annabelle menasihatkan mana-mana golongan wanita yang ingin menyertai BS pada masa akan datang agar bersedia dari segi mental dan fizikal.


breakfast yang disediakan oleh Team Chuck Wagon

Cabaran Antarabangsa Borneo Safari Imbak Canyon 2014 (Part 2)

Published in Utusan Borneo 
(7 November 2014)

Kereta terkandas semalaman di sungai, detik cemas Borneo Safari 2014

“Bila kereta sudah mahu terbalik, saya hanya fikir mahu melompat ke dalam sungai. Masa itu, saya tidak lagi fikir kalau saya hanyut macam mana. Apa yang saya fikir hanya ingin selamatkan diri sebelum kereta terbalik.”

Itulah luahan kata-kata yang menggambarkan kepanikan isteri Ketua Media, Roslin Kurus semasa menceritakan situasi beliau ketika kereta Isuzu Trooper milik suaminya, Hilary Francis terkandas dalam sungai di kawasan Tongod.

Turut berada dalam kereta itu adalah Pengurus Bahagian Teknikal Isuzu Malaysia Azhar Majid yang duduk di sebelah pemandu.

Roslin atau lebih mesra dengan panggilan Lyn berkata, keadaan dalam kereta pada masa itu cukup mencemaskan terutama apabila air mula naik.

“Hanya dalam beberapa saat sahaja, air dalam kereta mula naik hingga ke paras dada. Bila melihat air mula naik, itu membuatkan saya panik dan berfikir untuk terjun ke dalam sungai,” katanya ketika ditemui sehari selepas kejadian berlaku, iaitu pada hari keempat Cabaran Antarabangsa Off Road Borneo Safari 2014 berlangsung (29 Oktober).

Katanya, beliau bernasib baik kerana tingkap di bahagian penumpang belakang sudah sedia terbuka. Itu membolehkan beliau bernafas melalui tingkap. Jika tingkap tertutup, beliau pasti sudah lemas berada dalam kereta kerana kesukaran membuka pintu yang berdepan dengan arus deras.

Mengimbau kembali detik cemas itu, Lyn yang sudah menyertai Borneo Safari (BS) kali keenam itu berkata, pada awal kereta mereka sudah berundur ke belakang setelah memeriksa kedalaman air sungai. Namun, disebabkan ada arahan menyatakan bahawa air sungai tidak dalam, mereka pun meneruskan perjalanan.

Sebenarnya sudah banyak kereta yang berjaya melepasi sungai itu sebelum Hilary atau dikenali sebagai Aleey.

Mungkin nasib tidak menyebelahi mereka, sebelum berjaya menyeberangi sungai yang jaraknya hanya 30 meter, kereta dinaiki terundur ke belakang dan enjin kereta terberhenti.

Melihat kereta mereka berada di tengah-tengah sungai dengan semua penumpang masih di dalam membuatkan penulis dan peserta lain yang menyaksikan insiden itu turut panik.

Bagaimanapun, kepantasan pasukan yang berada di seberang kiri sungai untuk memasang winch pada kereta dan disangkut pada sebatang pokok membolehkan kereta berjaya ditahan daripada dihanyutkan arus.

Apabila kereta dalam keadaan stabil, penulis melihat seorang peserta bertindak pantas menuju ke kereta terbabit untuk membantu Aleey, Lyn dan Azhar untuk memanjat naik ke bumbung kereta.

Sebaik sahaja Lyn berjaya melompat ke dalam sungai dan diselamatkan. Aleey dengan bantuan peserta lain mula memasang winch pada kereta untuk disambungkan kepada pokok dan kereta yang berada di sebelah kanan sungai. Ia bagi memastikan kereta berada dalam keadaan stabil untuk ditinggalkan semalaman dalam sungai.

Bantuan semua peserta dan ahli bomba yang memberi arahan mengenai cara menyelamat dengan menjadikan jerrycan sebagai pelampung berjaya menyelamatkan ketiga-tiga mereka dalam tempoh 30 minit.

Hujan yang mula turun menyebabkan paras air sungai naik dengan pantas hingga hampir menutup bumbung kereta.

Dua hari menyertai BS, segalanya berjalan lancar dan tenang kerana perjalanan hanya melibatkan lebuhraya. Memasuki hari ketiga, keselesaan selama dua hari itu bertukar menjadi detik yang mencemaskan. Bak kata pepatah melayu ‘Ku sangka panas sampai ke petang, rupanya hujan di tengahari’.

Cabaran selepas terkandas

Insiden yang berlaku kira-kira 4.10 petang di hari ketiga Cabaran Antarabangsa Off Road Borneo Safari 2014 itu membuatkan semua peserta termasuk Kumpulan Media yang belum menyeberangi sungai terpaksa bermalam di situ.

Setelah menemui tapak khemah yang sesuai, penulis bersama rakan media dan wakil Isuzu lain bergotong-royong mendirikan khemah. Dengan mengikat tali khemah pada kereta yang diparkir di tiga penjuru dan bantuan kayu yang diperoleh dari hutan bersebelahan, akhirnya khemah media berdiri teguh.

Khemah pada malam itu agak padat disebabkan hanya sebuah khemah sahaja yang ada. Sebanyak 15 katil kem dimuatkan dengan jarak antara satu sama lain hanya sejengkal untuk dijadikan laluan. Disebabkan tidak cukup ruang, ada wakil Isuzu terpaksa tidur dalam kereta.

Ketika terkandas di situ, kumpulan media terpaksa bergantung kepada ehsan peserta lain termasuk Pembantu Ketua Media Andre Norbert untuk memberikan makanan. Tidak terbalas kebaikan mereka terhadap penulis dan rakan-rakan lain.

Ia kerana kenderaan yang sepatutnya menyediakan makanan untuk Kumpulan Media sudah jauh dihadapan iaitu di destinasi tapak perkhemahan asal iaitu di Pusat Konservasi Imbak Kanyon (ICCC).

Terkandas dalam hutan membolehkan penulis melihat situasi sebenar BS. Tidak seteruk yang penulis bayangkan kerana kebajikan media sentiasa dijaga. Bantu-membantu antara satu sama lain sudah menjadi rutin mereka ketika berada di hutan maka, wakil media tidak mungkin dibiarkan kelaparan.

Maggie bersama nasi dan makanan dalam tin adalah hidangan utama pada malam berkenaan. Ketika itu, apa sahaja yang disuapkan ke dalam mulut terasa sedap apatah lagi semua peserta dan wakil media tidak sempat makan tengahari.

Seharian melalui laluan sukar atau hardcore dan bermandi hujan membuatkan penulis tidak merasa lapar di siang hari. Seingat penulis, hanya sebungkus roti bilis dan biskut sahaja dijadikan pengalas perut baik buat penulis mahupun rakan lain.

Tidak dilupakan keprihatinan pemandu penulis yang turut memberi maggie cawan untuk dijadikan hidangan makan malam. Makan maggie di bawah khemah dengan huja lebat memang kombinasi yang baik atau dalam bahasa pasarnya ‘paling sadap’.

Hari Terkahir: Tiada lagi laluan sukar

Memasuki jam 6 pagi, penulis bersama rakan lain menuju ke sungai untuk meninjau keadaan kereta Aleey yang berada semalaman dalam sungai.

Semakin kaki penulis melangkah menghampiri tebing sungai, suasana riuh rendah mula kedengaran. Apabila tiba di tebing sungai, kelihatan Aleey bersama peserta lain sibuk memasang winch pada kereta yang dijadikan ‘anchor’ untuk menarik keretanya.

Peserta lain berhampiran tempat penulis berdiri pula membantu bagi mengalihkan sebatang pokok besar yang berada dalam sungai bagi memastikan kereta Aleey tidak tersangkut ketika ditarik naik.

Sebaik sahaja kereta berjaya ditarik ke tebing, kebanyakan peserta termasuk penulis kembali semua ke khemah.

Pada jam 8 pagi suasana riuh-rendah dengan bunyi hon yang sambung-menyambung menandakan kereta Aleey berjaya ditarik naik. 'Syukur Alhamdulilah' bisik hati kecil penulis.

Difahamkan, kereta Aleey perlu dibaiki dalam tempoh 2 jam. Sementara menunggu kereta dibaiki, penulis bersama yang rakan lain sempat bersarapan dengan bekalan makanan yang diberikan Andre. Ada yang mula memasak maggie dan penulis pula hanya mengalas perut dengan dua keping roti gardenia yang disalut tuna.

Semua peserta mula rolling pada jam 10.40 pagi merentasi sungai. Walau sungai tidak sedalam hari sebelumnya namun, arusnya masih lagi deras. Semua kereta dinasihatkan menyeberangi sungai dengan memasang winch bagi membolehkan dua buah kereta bergerak sekaligus.

Semua pemandu diberi arahan agar bergerak dalam bentuk C bagi membolehkan kenderaan dipandu melawan arus.

Penulis merasa bersyukur, walau kenderaan penulis naiki mengalami kerosakan sejak hari kedua, tetapi ia berjaya melepasi sungai tanpa sebarang masalah. Sebelum memasuki sungai, pemandu penulis iaitu Herry Joseph atau nama panggilannya Boy D-Max sempat berpesan 'Jangan buka tingkap'.

Memikirkan kereta itu mengalami kerosakan sepanjang empat hari BS berlangsung, penulis terpaksa akur dengan arahan. Biarpun penulis menyimpan hasrat untuk merakam perjalanan dalam sungai melalui telefon bimbit tetapi keselamatan harus diutamakan.

Sementara menanti kereta Aleey diperbaiki. Penulis dan semua rakan media lain menungggu giliran untuk memasak maggie dan makanan dalam tin sebagai hidangan tengahari.

Akhirnya kira-kira jam 2.20 petang, enjin kereta Aleey berjaya dihidupkan dan perjalanan diteruskan ke Pintu Masuk Pusat Perhutanan Millian dalam kawasan Hutan Simpan Sungai Pinangah bagi bertukar kenderaan kerana beberapa wakil Isuzu dan media termasuk penulis akan pulang ke Kota Kinabalu pada hari berkenaan.

Alhamdulilah semuanya berjalan lancar. Tiada lagi kereta rosak, tiada lagi laluan sukar yang memerlukan winch untuk ditempuhi.

Seperti dihari pertama, kereta Aleey masih mengetuai Kumpulan Media. Disebabkan kereta penulis berada di bekalang kereta Aleey, sepanjang perjalanan, penulis dapat melihat titisan air daripada bawah kereta.

Kumpulan media sempat berhenti di kawasan pembalakan bagi menghubungi wakil Isuzu menggunakan telefon satelit yang dibawa oleh Presiden Persatuan Pacuan Empat Road Sabah (SFWDA) merangkap Pengerusi Penganjur Faez Nordin.

Panggilan telefon itu bagi membolehkan proses menukar tarikh penerbangan wakil media dan Isuzu yang dijadualkan pada malam itu dilakukan. Terkandas semalaman dalam hutan menyebabkan wakil media dan Isuzu yang seharusnya keluar awal tidak dapat berbuat demikian.

Selepas Azhar siap berurusan perjalanan diteruskan menuju ke Pintu Masuk Pusat Perhutanan Millian dibawah kendalian Kumpulan Yayasan Sabah.

Sebaik tiba di situ, penulis dan enam rakan lain yang bakal keluar dari ekspedisi Borneo Safari itu diperkenalkan kepada pemandu baru yang akan menghantar kami ke Kota Kinabalu.

Selesai dibahagikan mengikut kereta masing-masing, jam 5.30 petang perjalanan diteruskan menuju ke jalan utama dengan melalui kawasan ladang kelapa sawit yang jauhnya hanya 60 km.

Walau jaraknya dekat tetapi masa diambil hampir 30 minit kerana jalan yang berlubang-lubang. Sepanjang jalan kenderaan dipandu melintasi lori-lori besar yang membawa balak dan kelapa sawit.

Perjalanan sejauh kira-kira 300 km dari Pintu Masuk Pusat Perhutanan Millian, Tongod ke Kota Kinabalu diteruskan.

Walau perjalanan agak mencabar disebabkan hujan lebat yang turun dalam perjalanan dari Telupid-Ranau serta kabus tebal di kawasan Kundasang, penulis akhirnya selamat tiba di rumah pada jam 12 tengah malam.

-TAMAT-

bumbung Isuzu trooper yang hampir ditenggelami sungai
took by phone...aksi memasang winch bagi membolehkan kereta tidak dibawa arus deras akibat hujan
usaha menyelamatkan penumpang yang berada dalam perut kereta untuk naik ke bumbung
hari berikutnya barulah berjaya menyeberangi sungai di kawasan Tongod
antara orang-orang kuat yang mengangkat pokok kayu untuk menghalang kereta dari maju ke depan semasa winching menarik kereta dalam salut lumpur dilakukan


Wednesday, November 26, 2014

Cabaran Antarabangsa Borneo Safari Imbak Canyon 2014 (Part 1)

Published in Utusan Borneo 
(5 November 2014)

Borneo Safari 2014, Saji Pengalaman berbeza buat peserta


Bermalam selama tiga malam di kawasan yang hanya dikelilingi hutan belantara dalam sebuah khemah besar yang dikongsikan bersama rakan media lain tidak pernah terlintas di fikiran penulis.

Apatah lagi bila memikirkan sebagai seorang yang bertudung pasti tidak selesa berada dalam suasana terbuka seperti itu.

Akan tetapi, penulis berjaya mengenepikan segala ketidakselesaan itu setelah melihat rakan media lain yang menghormati cara penulis berpakaian.

Itulah antara cabaran yang penulis tempuhi sepanjang empat hari menyertai Cabaran Antarabangsa Off Road Imbak Canyon Borneo Safari 2014.

Berbekalkan keyakinan bahawa penulis mampu menjalani kehidupan dalam hutan, penulis mengambil peluang diberi Isuzu Malaysia untuk menyertai dan membuat liputan bagi Borneo Safari kali ke-24 ini.

Walau penulis hanya berpeluang menyertai separuh perjalanan sahaja namun, pengalaman kali pertama menyertai BS memberi seribu satu pengalaman berbeza kepada penulis.

Jika diawal perjalanan pelbagai kerisuan bermain di fikiran kerana memikirkan bagaimana hendak mandi dan buang air ketika berada dalam hutan tetapi, setelah mengikuti BS selama empat hari, segalanya berjalan lancar dan kerisauan itu lenyap begitu sahaja.

Atas tunjuk ajar semua pihak, hari-hari yang disangkakan ‘teruk’ dapat dilalui dengan penuh kesabaran dan memberi pengalaman yang menyeronokkan.

Tahun ini terdapat sebanyak 270 kenderaan pacuan empat roda yang terdiri daripada kumpulan media, kumpulan perubatan, peserta pertandingan ujian peringkat istimewa atau Special Stage (SS) dan peserta ‘tag on’ iaitu mereka yang menyertai BS untuk menimba pengalaman berada dalam hutan.

Hari pertama, sebaik sahaja acara pelepasan peserta BS diadakan di hadapan Lembaga Pelancongan Sabah (STB), perjalanan diteruskan ke SS pertama yang terletak di atas bukit kawasan Gayang.

Cabaran SS pertama bermula jam 12 tengahari. Dalam keadaan cuaca panas terik di kawasan tanah kuning yang berhabuk, penulis gagahi diri untuk merakamkan aksi-aksi menarik peserta.

Ketika itu penulis berpeluang melihat kecekapan peserta yang bertanding dan kemahiran mereka menggunakan winching yang disangkut pada pokok bagi menaiki bukit setinggi 90 darjah.

Dalam tempoh masa yang ditetapkan, peserta pertandingan harus berjaya melepasi halangan dan tiba di tapak permulaan. Kiraan mata diberi berdasarkan kecekapan pemanduan dan rekod masa yang diambil.

Selesai merakamkan gambar menarik, perjalanan diteruskan pada jam 1.15 petang menuju ke tapak perkhemahan.

Pada malam pertama, tapak perkhemahan terpaksa ditukar ke tempat baru disebabkan laluan menuju ke tapak asal banjir dan tidak selamat untuk dilalui.

Akhirnya tapak perkhemahan baru di hari pertama ditetapkan di Pusat Pelancongan Tagal Kampung Lingkubang, Kota Belud.

Malam pertama menyertai BS semuanya selesa kerana ada tempat mandi dan tidur yang sempurna.

Penulis bersama rakan media lain tidur di ruang terbuka berbumbungkan zink beramai-ramai. Walau hanya beralaskan katil kem atau ‘camp bed’ dan berselimutkan ‘sleeping bag’ penulis rasa seolah-olah tidur dalam rumah.

Perjalanan hari kedua bermula jam 7.25 pagi menuju ke Tapak Perkhemahan Tawai. Difahamkan jaraknya kira-kira 300 km dari Kota Belud dan mengambil masa lima jam perjalanan. Bagaimanapun, disebabkan banyak perhentian, masa yang diambil jauh lebih lama daripada itu.

Peserta BS sempat berhenti di Pekan Kota Marudu bagi mengambil 300 kotak air mineral yang ditaja oleh Kedai Su Chung.

Ketika dalam perjalanan menuju ke Telupid, kenderaan yang penulis naiki iaitu Isuzu D-Max milik pemandu, Herry Joseph atau digelar Boy D-Max mengalami kerosakan dan memerlukan kumpulan media berhenti untuk memperbaikinya.

Penulis menaiki kereta itu bersama dua penumpang lain iaitu wakil Isuzu Malaysia Freddy Jimmy dan pembantu pemandu Cornelius Jay J.T atau Bong.

Bagaimanapun masa diambil untuk memperbaiki kerosakan tidak lama dan perjalanan diteruskan menuju ke destinasi seterusnya.

Dalam perjalanan menuju ke Telupid, kumpulan media berhenti sekali lagi apabila dikhabarkan kenderaan membawa kumpulan perubatan terlibat kemalangan. Nasib agak baik kerana ia tidak membabitkan sebarang kecederaan.

Pada hari kedua ini, penulis sempat memandu Isuzu D-Max V-Cross 2.5 selama hampir sejam ketika dalam perjalanan dari Paitan ke Telupid.

Apabila penulis mengambil alih tempat pemandu, perasaan gementar mula terasa maklumlah itu kali pertama penulis memandu pacuan empat roda. Semasa memandu, penulis dapat rasakan kelancaran enjin menaiki bukit dan ketika memotong kenderaan lain.

Gegaran pada stering juga dapat dirasakan kerana saiz tayar agak besar kerana sudah ditukar kepada centipede atau lebih dikenali sebagai lipan untuk membolehkan pacuan empat roda itu mampu melalui laluan sukar dan berlumpur.

Cabaran Sebenar: Laluan Sukar

Sepanjang dua hari berada di lebuhraya Kota Kinabalu-Kota Belud-Telupid, akhirnya memasuki hari ketiga barulah cabaran sebenar bermula.

Ketika ini, tiada lagi lebuhraya dan jalan bertar. Apa yang dapat dilihat disekeliling hanyalah ladang kelapa sawit dan hutan belantara.

Dari tapak perkhemahan yang terletak tidak jauh dari Bulatan Nangoh di kawasan Telupid, peserta BS bergerak seawal 7 pagi untuk memasuki kawasan hutan yang kira-kira 300 meter dari tapak khemah.

Menerusi walkie-talkie difahamkan perjalanan dari tapak perkhemahan menuju ke destinasi seterusnya, Pusat Konservasi Kanyon Imbak (ICCC) adalah sejauh kira-kira 108km.

Setelah hampir sejam meninggalkan kawasan perkampungan Entilibon, barulah penulis mengetahui bahawa hutan yang akan dilalui adalah Hutan Simpan Tangkulap Deramakot. Itupun setelah melihat papan tanda.

Kira-kira jam 10 pagi, semua pacuan empat roda termasuk kumpulan media berhenti dan beratur menunggu giliran bagi melepasi laluan sukar atau laluan hardcore yang pertama bagi BS kali ini.

Disinilah keupayaan sebenar Isuzu D-Max V-Cross dapat diuji. Ternyata kereta pacuan empat roda yang sudah dilengkapi dengan winch dan tayar lipan itu mampu meredah laluan sukar dengan mudah.

Ketika ini bagi membolehkan kenderaan melalui laluan hardcore, semua kenderaan perlu menggunakan winch bagi melepasi jalan berlumpur dan licin dan sedikit berbukit. Terdapat juga kereta yang mampu melalui laluan hardcore itu tanpa menggunakan winch.

Ketika ini, penulis dapat melihat bagaimana ‘winching’ dilakukan sama ada disangkut pada kenderaan lain mahupun pada pokok.

Ia bukan tugas yang mudah kerana pemandu harus sentiasa mendengar arahan. Pembantu pemandu serta peserta lain juga harus tangkas menarik keluar kabel winch untuk disambungkan kepada kenderaan yang bertindak sebagai ‘anchor’.

Bagi kenderaan yang agak besar dan berat, ia memerlukan dua buah kenderaan untuk menariknya keluar dari laluan lumpur.

Menyaksikan kerjasama dan semangat berpasukan yang ditunjukkan semua peserta dalam memastikan semua kenderaan berjaya melepasi laluan hardcore membuatkan penulis mula merasa bertuah kerana berpeluang menyertai BS.

Setelah melepasi kedua-dua laluan harcore, difahamkan kereta penulis naiki mengalami kerosakan, iaitu axle shaft patah. Maka, keupayaan D-Max yang dinaiki semakin berkurang kerana four-wheel-drive tidak berfungsi dan hanya bergantung kepada two-wheel-drive sahaja.

Disebabkan kerosakan itu, apabila menaiki kawasan bukit dengan jalan yang licin, kereta yang penulis naiki terpaksa bergantung kepada kereta hadapan untuk menariknya melepasi laluan yang licin.

Semasa bergantung kepada kereta dihadapan untuk menaiki bukit, kereta penulis naiki terlanggar batu besar dan senget sedikit ke sebelah kiri. Genggaman tangan pada pemegang kereta dirasakan semakin kuat kerana memikirkan kemungkinan kereta akan terbalik.

Bagaimanapun pemandu sangat profesional dan berjaya menyeimbangkan kereta semula. Setelah kereta dalam keadaan seimbang, barulah winch diarahkan untuk disambung kepada kereta yang berada di atas bukit yang jaraknya kira-kira 50 meter.

Pada masa ini, dalam seumur hidup penulis, itu kali pertama penulis ikut menarik kabel winch walaupun hanya seketika.

Masa ini barulah penulis mengetahui betapa sukarnya kabel itu untuk ditarik keluar tambahan pula harus menaiki bukit.

Nasib penulis agak baik kerana pembantu pemandu kereta di hadapan turun menghulurkan bantuan bagi menarik kabel hingga ke kereta mereka. Kalau hendak harapkan penulis tarik winch sampai atas, memang tidak larat.

Laluan hardcore tidak terhenti disitu. Selepas hampir 15 minit perjalanan, sekali lagi kereta terpaksa dihentikan kerana ada sebuah kereta tersangkut dalam tanah lembut yang berlumpur.

Cuaca hujan menyukarkan lagi kereta itu untuk ditarik keluar. Walaupun dua buah kereta digunakan untuk menarik kereta terbabit, ia tetap tidak berganjak.

Memikirkan sesuatu perlu dilakukan, peserta yang terkandas disitu membuka laluan baru dengan mencangkul jalan dan merebahkan pokok bagi memudahkan kereta lalu.

Setelah 30 minit tersadai di situ, kereta yang tersangkut akhirnya berjaya melepasi laluan terbabit dengan menggunakan laluan baru dan bantuan winching.

Kemudian, kereta lain yang berada di belakang termasuk kereta dinaiki penulis juga berjaya melepasi kawasan itu.

Akhirnya kenderaan dinaiki penulis tiba di tapak perkhemahan baru kira-kira 4 petang.

media official vehicles..Isuzu D-Max V-cross
here we are..media team for Borneo Safari 2014
Penginapan Hotel 5 Bintang kami sepanjang berada dalam hutan

Trip to Imbak Canyon Day 3

Day 3 (25 March) in Imbak Canyon I woke up at 5am in the dark and took shower then proceed with breakfast at 6am. I couldn't slept...